IBRAHIM ALI BIDAS PKINK
RUMAH DIDIAMI SEJAK 3 GENERASI, PAMPASAN CUMA RM1,000
KOTA BHARU: Penduduk Kampung Jalan Atas Paloh, Kota Bharu, Kelantan, berang apabila rumah yang diduduki sejak tiga generasi lalu hendak dirobohkan oleh sebuah anak syarikat kerajaan negeri dengan bayaran pampasan hanya RM1,000.
Difahamkan, sebanyak 64 rumah penduduk di kampung itu akan dirobohkan oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr Ibrahim Ali mendakwa, penduduk hanya diberikan bayaran pampasan sebanyak RM500 yang dibayar sebelum kerja meroboh dijalankan, manakala RM500 lagi selepas kerja selesai.
“Penduduk menduduki tanah itu sejak tiga generasi iaitu hampir 80 tahun. Sebelum ini mereka membayar tol dan pernah memohon pemilikan tanah terbabit.
“Bagaimanapun, tidak ada rundingan diadakan, malah ada surat akuan bersumpah yang dibuat kononnya penduduk bersetuju berpindah dan rumah mereka diroboh,” katanya dipetik dari Malaysiapost.
DATUK Dr Ibrahim Ali akan bantu penduduk fail injunksi
Beliau berkata, bayaran pampasan sepatutnya dibuat berdasarkan saiz dan bentuk rumah serta mengikut penilaian harga semasa.
“Sebelum ini, pada zaman Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat Menteri Besar, penduduk dijanjikan rumah bernilai RM160,000 di atas tanah yang sama dan hanya perlu membayar sebanyak RM50,000 sahaja.
“Sekarang mereka dibayar harga pampasan reban ayam dan betul-betul zalim. Penindasan luar biasa oleh PKINK di bawah kerajaan PAS,” katanya.
Justeru, beliau berkata, penduduk dengan kerjasama PUTRA akan membawa kes itu ke mahkamah termasuk injunksi untuk 16 rumah lagi yang masih belum diroboh.