29 JUTA MENGANGGUR ANGKARA COVID-19
Berita Global
TAHAP PENGANGGURAN TERTINGGI DIREKODKAN DI INDONESIA
JAKARTA: Kadar pengangguran di Indonesia meningkat ke tahap tertinggi sejak 2011 dengan pandemik COVID-19 menyebabkan 29 juta orang kehilangan pekerjaan.
Kadar pengangguran meningkat kepada 7.07 peratus setakat Ogos lalu berbanding 5.23 peratus setahun lalu, sekali gus mencatatkan kadar tertinggi selepas 7.48 peratus pada 2011, menurut agensi statistik Indonesia.
Jumlah mereka yang tidak bekerja bertambah lebih satu pertiga kepada 9.8 juta orang ketika pandemik menghimpit ekonomi terbesar Asia Tenggara itu ke kancah kemerosotan teknikal yang pertama dalam tempoh dua dekad.
Menurut laporan Agensi, secara keseluruhan, 29 juta orang atau hampir 15 peratus daripada tenaga kerja Indonesia terkesan akibat ancaman virus itu.
Selain mereka yang kehilangan pekerjaan, sekitar 9.5 juta lagi meninggalkan kerja sepenuh masa manakala mereka yang bekerja kurang 35 jam seminggu meningkat 9.2 juta orang.
Kerajaan Presiden Indonesia, Joko Widodo, kini cuba mempercepatkan penggubalan Undang-Undang Cipta Kerja terutama peruntukan bagi melonggarkan undang-undang buruh dan mengurangkan kerenah birokrasi dalam usaha menggalakkan peluang kerja bagi memulihkan ekonomi tahun depan.
Walaupun langkah terbabit disokong golongan usahawan, namun pekerja dan kesatuan sekerja membantahnya atas dakwaan ia menghakis hak pekerja, malah sebuah kesatuan sekerja memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar undang-undang berkenaan.