Tiga murid SK Inderapura, jadi krew TV liput kejohanan MSSM
Tiga murid SK Inderapura, jadi krew TV liput kejohanan MSSM
JERANTUT – Pengalaman berada di belakang kamera, menemuramah atlet dari seluruh negara dan bergegas ke lokasi pertandingan menjadi kenangan bermakna buat tiga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Inderpura apabila diberi kepercayaan membuat liputan Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Kali Ke-24 di Kuantan yang berlangsung mulai 22 hingga 25 November.

Lebih membanggakan, ketiga-tiga murid berkenaan bukan sekadar menjadi pemerhati, sebaliknya diberi tanggungjawab sebagai krew televisyen (TV) bagi merakam perjalanan kejohanan berkenaan.
Guru pengiring, Nurul Afifah Rahim berkata, mereka diberi tugasan menemuramah peserta, jurulatih dan pengurus pasukan yang datang dari seluruh negara.
Katanya, antara pengalaman menarik ialah apabila mereka menemuramah atlet pendidikan khas menggunakan bahasa isyarat serta peserta yang memakai alat bantuan pendengaran.
“Keupayaan mereka melaksanakan tugasan itu membuktikan murid sekolah rendah mempunyai potensi, keyakinan dan semangat luar biasa seperti murid lain.
“Kejohanan berlangsung di beberapa lokasi mengikut acara sukan tertentu menyebabkan krew kami perlu bergerak pantas dari satu lokasi ke lokasi lain.
“Ada kalanya kami terpaksa berkejar-kejar untuk memastikan semua tugasan liputan dapat diselesaikan,” katanya.
Menurutnya, pengalaman itu turut disulami pelbagai insiden mencuit hati apabila ada ahli krew tercicir walkie-talkie, terlupa skrip dan terpaksa mengulangi sesi temu bual.
Bagaimanapun, katanya, cabaran berkenaan menjadi sebahagian daripada proses pembelajaran yang mengajar mereka lebih berani, berdisiplin dan bekerjasama dalam pasukan.
“Ini pengalaman sangat berguna kerana mereka berpeluang mempelajari sesuatu yang tidak diperoleh sepenuhnya di dalam bilik darjah.
“Saya berharap pengalaman ini menjadi suntikan motivasi untuk mereka lebih yakin dengan kebolehan diri dan bersemangat dalam pelajaran,” katanya.
Tiga murid berusia 11 tahun yang terbabit ialah Noah Iskandar Yousran, Puteri Wafiya Na’ilah Mohammad Zuhar dan Hazzirah Syaurrah Hairrul Nizzam.
Sebelum diberi tanggungjawab itu, mereka terlebih dahulu menjalani latihan di sekolah menerusi pelbagai program dan aktiviti liputan yang dianjurkan pada peringkat sekolah serta daerah.
Pengalaman itu sekali gus membuktikan kekurangan bukan penghalang untuk murid pendidikan khas meneroka bakat, mencabar kemampuan diri dan menyerlah dalam bidang yang diminati.-SAHIH.
