Penduduk rayu hentikan pembalakan, bimbang sumber air bukit terjejas
Penduduk rayu hentikan pembalakan, bimbang sumber air bukit terjejas
JERANTUT – Kira-kira 150 keluarga di Kampung Bharu, Kampung Som, di sini, merayu supaya aktiviti pembalakan di Kompartmen Satu, Hutan Simpan Jerantut Tambahan, tidak dilaksanakan bagi melindungi sumber air bukit yang menjadi keperluan utama penduduk setempat.
Mereka juga bimbang kegiatan pembalakan itu boleh menyebabkan aktiviti penternakan ikan air tawar penternakan haiwan bergantung kepada sumber air semula jadi berkenaan turut terjejas.
Pemandu pelancong Bukit Panau dan Lata Besen, Mohamad Hafizi Rosnan, 36, berkata, penduduk sudah lama menggunakan sumber air bukit disalurkan melalui sistem paip dari kawasan hutan simpan berkenaan.
Katanya, kira-kira 20 pengusaha kolam ikan menggunakan sepenuhnya air bukit berkenaan yang dipercayai menjadi antara faktor menyumbang kepada kesihatan dan kualiti ikan ternakan mereka.
“Bekalan air daripada Perbadanan Air Pahang (PAIP) pula kadangkala terputus sehingga penduduk terpaksa bergantung kepada sumber alternatif untuk meneruskan urusan harian.
“Selain penduduk dan penternak ikan, pengusaha inap desa serta penternak kambing, lembu dan rusa turut menggunakan sumber air bukit ini,” katanya.
Sementara itu, penduduk Kampung Bharu, Muhammad Zarrif Mahmud, 35, berkata, kawasan Lata Besen mempunyai tarikan alam semula jadi yang berpotensi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam sekitar.
Beliau yang mengusahakan pembenihan ikan patin dan tilapia berkata, sumber air bukit turut menjadi keperluan penting bagi memastikan perusahaan berkenaan dapat diteruskan.
Menurutnya, keindahan air terjun Lata Besen turut menarik perhatian pengunjung tempatan dan luar negara, selain menawarkan aktiviti rekreasi termasuk water abseiling pada ketinggian kira-kira 30 meter.
“Kira-kira 2,000 pengunjung tempatan pernah mengunjungi kawasan ini untuk menikmati keindahan alam semula jadinya, malah ada pelancong dari Indonesia, Sri Lanka dan Singapura yang turut terpesona dengan keistimewaan lokasi ini.
“Kami berharap kawasan bukit dan air terjun ini dipelihara daripada sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan alam sekitar, sumber air serta kehidupan penduduk,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Jerantut, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin yang turut menyertai lawatan dan pendakian ke Bukit Besen berkata, khazanah alam semula jadi itu wajar dikekalkan dan dipelihara untuk manfaat generasi akan datang.
Katanya, kawasan berkenaan berpotensi dipertimbangkan sebagai kawasan tadahan air hujan dan destinasi rekreasi, khususnya bagi peminat aktiviti mendaki bukit yang mempunyai ketinggian hampir 200 meter dari paras laut.
“Lokasi ini mempunyai keistimewaan tersendiri dan kedudukannya hanya kira-kira 10 kilometer dari bandar Jerantut menjadikannya berpotensi dipromosikan sebagai produk pelancongan alam semula jadi.
“Keindahan kawasan ini turut mendapat pujian pelancong luar negara. Justeru, usaha pemeliharaan perlu diberi perhatian supaya khazanah ini tidak hilang akibat pembangunan yang tidak terkawal,” katanya.- SAHIH.
