Setiap kementerian diminta anjur program khas sempena 70 tahun merdeka
Setiap kementerian diminta anjur program khas sempena 70 tahun merdeka
KUALA LUMPUR: Setiap kementerian disaran menganjurkan program utama atau ‘flagship’ masing-masing bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2027 sempena ulang tahun ke-70 kemerdekaan negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perancangan awal perlu dimulakan segera bagi memastikan sambutan bersejarah itu berlangsung lebih istimewa dan memberi makna kepada seluruh rakyat Malaysia.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk HKHM berkata, penyelarasan antara kementerian perlu diperkukuh dengan bantuan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
“Tahun depan sambutan mesti lebih istimewa kerana genap 70 tahun Malaysia merdeka.
“Maka banyak daripada perancangan mesti dimulakan. Kita minta bantuan Ketua Setiausaha Negara selaraskan dalam kalangan ketua setiausaha setiap kementerian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup dan Apresiasi HKHM 2026, malam Isnin.
Fahmi berkata, sepanjang empat tahun menerajui Jawatankuasa Induk HKHM, beliau menyaksikan sambutan itu memainkan peranan penting dalam membentuk identiti negara bangsa selain menyatukan rakyat menerusi semangat patriotisme.
Menurutnya, HKHM 2026 bertemakan ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’ mencatat penyertaan 10,819 peserta dalam perbarisan dan perarakan membabitkan 76 kontinjen serta 22 kumpulan pancaragam.
“Sambutan tahun ini turut menerima sumbangan RM51.5 juta daripada 147 rakan strategik, kebanyakannya dalam bentuk barangan dan perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata, lebih 100,000 pengunjung hadir secara fizikal bagi memeriahkan sambutan berkenaan, manakala jutaan lagi mengikuti siaran langsung menerusi pelbagai platform.
Pada majlis sama, Fahmi menyampaikan sijil penghargaan kepada 22 jawatankuasa yang memainkan peranan menjayakan sambutan peringkat nasional itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin turut menerima penghargaan selaku Pengerusi Jawatankuasa Teks Ucapan.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Shamsul Azri dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah.-SAHIH
#HKHM2027 #Merdeka70Tahun #FahmiFadzil #MalaysiaMADANI
