Digelar gangster dari Klang, ketua pengusaha sawit Chemomoi mahu saman
Digelar gangster dari Klang, ketua pengusaha sawit Chemomoi mahu saman
BENTONG: Ketua Pengusaha Ladang Chemomoi Hutan Simpan Kemasul 2, M Tamilchelvam, 65, akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengaitkannya dengan kegiatan gangster dan sindiket ladang kelapa sawit haram menerusi media sosial.
Beliau yang dikenali sebagai Cala berkata, tuduhan itu menjejaskan nama baiknya, selain memberi gambaran buruk terhadap perjuangannya membela nasib kira-kira 300 pengusaha ladang kelapa sawit di Hutan Simpan Kemasul Tambahan 2, berhampiran FELDA Chemomoi.
Katanya, dakwaan bahawa beliau berasal dari Klang, Selangor dan mengetuai sindiket terbabit adalah tidak benar kerana beliau merupakan anak peneroka FELDA Sungai Kemahal yang menetap di FELDA Chemomoi sejak 1988.
“Saya bukan gangster. Saya anak peneroka FELDA Sungai Kemahal dan membesar di tanah rancangan sejak berusia lapan tahun.
“Saya masuk FELDA Chemomoi pada Ogos 1988 dan menetap di sini sehingga sekarang. Sebelum ini saya bekerja dengan Korporasi FELDA dan menjadi kontraktor pembangunan ladang.

Ketua Pengusaha Ladang Chemomoi Hutan Simpan Kemasul 2, M Tamilchelvam, 65,
“Kalau benar saya gangster, semaklah rekod saya dengan polis. Saya tidak takut kerana saya tahu siapa diri saya,” katanya ketika ditemui di sini.
Tamilchelvam turut menafikan dakwaan kononnya beliau mempergunakan penduduk bagi mendapatkan keuntungan daripada hasil tanaman mereka.
“Saya dituduh mengambil 30 peratus hasil tanaman penduduk. Semua itu tidak benar.
“Saya membantu mereka kerana tanah berkenaan diusahakan dengan titik peluh sendiri. Walaupun berlainan agama dan bangsa, saya menganggap mereka seperti adik-beradik.
“Saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang memburukkan nama saya dan keluarga,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Siva yang dikaitkan dengan kegiatan gangster dalam dakwaan berkenaan sebenarnya anak lelakinya, bukannya adik seperti yang disebarkan.
Katanya, Siva juga seorang kontraktor yang menjalankan perniagaan sendiri dan tidak terbabit dengan kegiatan berkenaan.
Sementara itu, pengusaha, Hazarina Abdullah, 52, berkata, tuduhan terhadap Tamilchelvam mengejutkan penduduk yang mengenalinya sejak sekian lama.
“Kami berterima kasih kepadanya kerana sanggup menjadi orang yang bersuara mempertahankan nasib pengusaha di sini.
“Tuduhan itu sangat berat dan tidak menggambarkan dirinya yang sebenar,” katanya.
Seorang lagi pengusaha, Hanafiah Muhammad, 48, turut mempertahankan Tamilchelvam yang disifatkannya sebagai penduduk tempatan dan dikenali masyarakat FELDA Chemomoi.
Katanya, beliau mengenali Tamilchelvam sejak sekian lama dan menegaskan dakwaan mengaitkannya dengan kegiatan gangster tidak berasas.
Kontroversi itu tercetus susulan penyebaran artikel sebuah portal yang mendakwa kegiatan ladang sawit haram di Chemomoi didalangi gangster dari Klang.
Pertikaian tanah berkenaan sebelum ini mendapat perhatian apabila kira-kira 300 pengusaha merayu campur tangan Sultan Pahang susulan dakwaan sebuah syarikat swasta diberikan hak memungut hasil tanaman atau ‘tapping right’ di kawasan yang diusahakan mereka sejak 2012.-SAHIH
#Chemomoi #Bentong #PengusahaSawit #IsuTanah
