Peniaga mengaku tidak bersalah hantar komunikasi jelik di Facebook
Peniaga mengaku tidak bersalah hantar komunikasi jelik di Facebook
SEPANG: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik menerusi akaun Facebook menggunakan nama ‘Tam Jebat’, Januari lalu.
Tertuduh, Muhammad Zubair Ismail, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Raja Shahril Anuar Raja Baniamin.
Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat jelik menerusi akaun Facebook ‘Tam Jebat’ dengan niat menyakitkan hati orang lain pada 12 Januari lalu.
Hantaran berkenaan kemudian dilihat di Menara 1, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Cyberjaya, kira-kira jam 3 petang pada 13 Januari lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh juga boleh dikenakan denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa MCMC, Fadhli Ab Wahab yang mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan lebih rendah.
Beliau memaklumkan anak guamnya bekerja sendiri selain menanggung isteri yang tidak bekerja serta empat anak yang masih bersekolah.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan 17 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.-SAHIH
#Mahkamah #KomunikasiJelik #MCMC #TamJebat
