Koperasi ASEAN sumbang AS$195 bilion kepada ekonomi serantau
Koperasi ASEAN sumbang AS$195 bilion kepada ekonomi serantau
KUALA LUMPUR: Gerakan koperasi di ASEAN terus membuktikan peranannya sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi apabila sebanyak 347,599 koperasi dengan 66.6 juta anggota menyumbang kira-kira lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rantau itu.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, sumbangan berkenaan dianggarkan bernilai AS$195 bilion, sekali gus memperlihatkan potensi besar sektor koperasi dalam memperkukuh ekonomi serantau.
Katanya, perkembangan itu membuktikan model perniagaan koperasi yang berasaskan kerjasama dan kepentingan bersama mampu meningkatkan daya saing serta ketahanan ekonomi dalam persekitaran perniagaan semakin mencabar.
“Kerjasama antara koperasi membolehkan sumber dan kepakaran digabungkan bagi membuka peluang perniagaan baharu serta memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dikekalkan dalam jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala UTAC International Award 2026 anjuran My Group International Sdn Bhd di Berjaya Times Square Hotel, di sini, Sabtu lalu.
Abdul Fattah yang juga Presiden ASEAN Cooperative Organization (ACO) berkata, gerakan koperasi di peringkat global merangkumi kira-kira tiga juta koperasi dengan lebih satu bilion anggota serta menyediakan peluang pekerjaan kepada sekitar 280 juta individu.
Menurutnya, kerjasama koperasi di peringkat ASEAN perlu terus diperkukuh terutama dalam sektor sekuriti makanan dan produk halal yang mempunyai potensi pasaran luas.
Katanya, pemilihannya sebagai Ahli Lembaga International Cooperative Alliance (ICA) bagi penggal 2026 hingga 2030 pada 15 September lalu turut membuka peluang memperkukuh suara koperasi Malaysia di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Pengerusi My Group International Sdn Bhd, Dato’ Dr Lim Kee Siang berkata, penganjuran UTAC International Award 2026 bertujuan mengiktiraf pencapaian dan kepimpinan usahawan, pemimpin perniagaan serta golongan profesional.
Beliau berharap pengiktirafan berkenaan dapat menggalakkan inovasi, memperluas jaringan profesional dan membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik antara pemain industri.
Majlis berkenaan turut dihadiri Penasihat Diraja Persatuan Bekas Pasukan Keselamatan Negara Malaysia, YM Tengku Puteri Rosmawini Tengku Dato’ Muiz Shah Tengku Temenggong Abdul Aziz binti Abdullah serta Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA, Halim Haji Ibrahim.-SAHIH
#ANGKASA #KoperasiASEAN #EkonomiSerantau #UTACAward2026
