Malaysia sedia hantar pesawat, tiga helikopter bantu Indonesia padam kebakaran
Malaysia sedia hantar pesawat, tiga helikopter bantu Indonesia padam kebakaran
KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia menggerakkan sebuah pesawat Bombardier CL-415MP, tiga helikopter dan kira-kira 50 anggota bagi membantu Indonesia memadam kebakaran hutan yang turut menyebabkan masalah jerebu rentas sempadan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan kini hanya menunggu persetujuan rasmi Indonesia sebelum aset dan anggota berkenaan digerakkan ke negara jiran itu.
Katanya, walaupun jumlah bantuan yang ditawarkan kecil berbanding keseluruhan kekuatan pasukan pemadam kebakaran Indonesia, langkah itu membuktikan komitmen Malaysia dalam membantu menangani bencana berkenaan.
“Biarpun asetnya sedikit dan jumlah anggotanya kecil berbanding dengan seluruh tenaga untuk pembanterasan kebakaran yang mengakibatkan jerebu ini di Indonesia yang akhirnya sampai ke Malaysia, Singapura dan Timor Leste.
“Tetapi kita komited untuk meneruskan bantuan ini. Perdana Menteri juga sudah menghubungi Presiden Prabowo dan bantuan kita sekecil mana pun adalah satu isyarat yang baik untuk membantu negara jiran terdekat,” katanya.
Terdahulu, Malaysia menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama beberapa agensi keselamatan menawarkan bantuan kepada Indonesia bagi menangani kebakaran hutan dan tanah serta masalah jerebu.
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dilaporkan sudah meluluskan tawaran bantuan asing bagi menangani krisis kebakaran berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, kerajaan turut memberi tumpuan terhadap kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), khususnya melalui pengoptimuman penggunaan sistem amaran awal.
Katanya, persediaan menghadapi kemungkinan bencana banjir akan diteruskan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk jabatan dan agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Kesiapsiagaan akan diteruskan dan kita berterima kasih kerana ia juga membabitkan NGO selain jabatan dan agensi kerajaan yang ada,” katanya.
Beliau berkata, program Bulan Kesiapsiagaan Nasional yang diadakan di Ipoh, Perak, dua minggu lalu turut berjalan lancar sebagai sebahagian usaha memperkukuh persediaan menghadapi bencana.-SAHIH
#KebakaranHutan #Jerebu #Indonesia #MonsunTimurLaut
