Gaji minimum graduan bakal diwajibkan, Akta 732 dipinda
Gaji minimum graduan bakal diwajibkan, Akta 732 dipinda
PUTRAJAYA: Kerajaan akan membawa pindaan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) ke Parlimen secepat mungkin bagi membolehkan pembayaran gaji minimum kepada graduan diwajibkan berdasarkan tahap kelayakan pendidikan mereka.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, pindaan itu penting memandangkan akta berkenaan ketika ini tidak mempunyai peruntukan khusus untuk menetapkan gaji minimum mengikut tahap pendidikan seseorang pekerja.
Katanya, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang memperincikan garis panduan gaji pokok permulaan yang dijangka diterbitkan seiring pelaksanaan Perintah Gaji Minimum pada Jun 2027.
“Memandangkan akta tersebut pada masa ini tidak mempunyai peruntukan khusus bagi penetapan gaji minimum berdasarkan tahap pendidikan, KESUMA menyasarkan supaya garis panduan ini diterbitkan dan dilaksanakan seiring dengan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum pada Jun 2027.
“Pendekatan ini akan menyediakan satu rujukan berpusat yang lebih jelas kepada majikan dan pekerja berhubung gaji pokok permulaan mengikut pekerjaan, kelayakan dan kemahiran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Perintah Gaji Minimum 2027 di sini, Jumaat lalu.
Ramanan berkata, kementerian turut memperincikan mekanisme pemantauan pembayaran gaji pekerja menerusi modul e-Wages bagi memperkukuh penguatkuasaan undang-undang perburuhan.
Katanya, mekanisme itu bertujuan memastikan majikan membayar gaji mengikut kaedah ditetapkan di bawah Akta Kerja 1955.
“Pelaksanaan sistem ini juga bagi mengurangkan kes pekerja tidak menerima gaji, pembayaran lewat atau dibayar pada kadar lebih rendah daripada gaji minimum yang ditetapkan,” katanya.
Menurutnya, mekanisme pemantauan berkenaan turut dicadangkan merangkumi pembayaran gaji kepada pekerja asing bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang pekerjaan.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, selain memperkenalkan kerangka gaji permulaan RM2,500 bagi graduan dan pekerja separa mahir.-SAHIH
#GajiGraduan #Akta732 #KESUMA #GajiMinimum
