Jelajah 15 bandar derma darah, Pengarah APM Pahang cipta rekod negara
Jelajah 15 bandar derma darah, Pengarah APM Pahang cipta rekod negara
KUALA LUMPUR: Semangat mahu membudayakan amalan menderma darah dalam kalangan masyarakat membawa Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman mencipta sejarah apabila namanya diiktiraf The Malaysia Book of Records (MBOR).
Pengiktirafan itu diterima selepas beliau berjaya melengkapkan misi menderma darah di 15 bandar utama membabitkan 13 negeri dan dua Wilayah Persekutuan sejak 2023.
Kejayaan berkenaan melayakkan beliau menerima pengiktirafan menerusi kategori ‘First to Complete Blood Donation in All Capital City’ sekali gus menjadi pencapaian tersendiri dalam usaha menggalakkan budaya menderma darah.
Che Adam berkata, misi penjelajahan itu bukan sekadar mengejar pengiktirafan, sebaliknya bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terutama golongan belia mengenai kepentingan menjadi penderma darah secara berkala.
“Tujuan utama ataupun signifikan kita buat program ini adalah untuk membentuk ataupun membudayakan derma darah dalam kalangan belia, terutama penderma darah baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sijil MBOR di Pusat Darah Negara, di sini, semalam.
Menurutnya, sepanjang menjayakan misi berkenaan, hampir 200 anggota APM di negeri dan daerah yang disinggahi turut memberikan sokongan dengan menyertai aktiviti menderma darah.
Katanya, inisiatif itu turut berjaya melahirkan penderma baharu di beberapa negeri termasuk Pulau Pinang, Perak, Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, pendermaan darah secara konsisten penting bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi terutama ketika musim perayaan dan cuti panjang.

“Bekalan darah amat diperlukan bagi menampung keperluan pembedahan, mangsa kemalangan serta pesakit talasemia dan anemia,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Darah Negara, Dr Nor Nazahah Mahmud berkata, kerjasama agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan termasuk APM mampu memperluas kesedaran mengenai kepentingan menderma darah.
Katanya, kadar pendermaan darah negara ketika ini adalah 2.3 peratus dengan sasaran meningkat kepada tiga peratus menjelang 2030.
Sehubungan itu, usaha promosi dan penglibatan pelbagai pihak perlu diperkukuh bagi menggalakkan lebih ramai rakyat tampil sebagai penderma darah.-SAHIH
#APMPahang #MalaysiaBookOfRecords #DermaDarah #CheAdamARahman
