Malaysia intai pasaran Afrika, Kenya jadi pintu masuk utama
Malaysia intai pasaran Afrika, Kenya jadi pintu masuk utama
JELI: Malaysia menjadikan Kenya sebagai pintu masuk utama untuk menembusi pasaran Afrika dalam usaha memperluas eksport komoditi negara menerusi misi perdagangan yang dirancang Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, langkah itu sebahagian daripada strategi kerajaan untuk memperkukuh kedudukan komoditi tempatan di pasaran antarabangsa, selain mengurangkan kebergantungan kepada pasaran sedia ada.
Katanya, kementerian mengenal pasti empat pasaran utama yang diberikan tumpuan iaitu India, Kenya, Kesatuan Eropah (EU) dan China bagi memastikan eksport komoditi Malaysia terus berkembang.
“Jualan kita yang paling utama sekali adalah India, kedua Kenya, ketiga EU dan keempat China.
“Maknanya ini empat fokus negara atau kawasan benua yang kita nak berikan tumpuan. Kenya itu pintu masuk kepada Afrika.
“Insya-Allah, misi kita selepas ini adalah ke Kenya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Industri Asas Tani 2026 (AGX’26) di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kampus Jeli, di sini, Khamis lalu.
Noraini berkata, kementeriannya turut memberikan perhatian terhadap usaha meningkatkan permintaan komoditi Malaysia di India yang kekal sebagai antara pasaran eksport terpenting negara.
Menurutnya, pembangunan produk hiliran bernilai tinggi juga menjadi keutamaan bagi meningkatkan nilai tambah serta memastikan komoditi tempatan mampu bersaing di pasaran global.
Mengulas perkembangan semasa, beliau berkata, krisis yang berlaku di Asia Barat setakat ini tidak menjejaskan sektor perladangan negara.
Katanya, maklum balas delegasi kementerian yang baru pulang daripada misi ke India menunjukkan permintaan terhadap minyak sawit Malaysia masih kukuh.
“Kementerian akan terus mengadakan sesi libat urus dengan pemain industri dan pekebun kecil bagi memastikan setiap perkembangan pasaran serta cabaran sektor ini diberikan perhatian,” katanya.
Beliau berkata, usaha meneroka pasaran baharu dan memperkukuh pengeluaran produk hiliran penting bagi memastikan industri komoditi negara kekal berdaya saing serta mampu menjana nilai eksport lebih tinggi.-SAHIH
#KomoditiMalaysia #Kenya #Eksport #MinyakSawit
