Pemandu BYD didakwa sebabkan kematian kanak-kanak lima tahun
Pemandu BYD didakwa sebabkan kematian kanak-kanak lima tahun
KUALA LUMPUR: Pemandu kereta elektrik BYD Seal yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Jalan Kuching, Sabtu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh, Raeven Goh Wey Haur, 24, yang bekerja sebagai pegawai bank, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan termasuk memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Asiah Ahmad Syahir.
Pengakuan itu dibuat selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aliaa Anwar.
Mengikut pertuduhan pertama, Goh didakwa memandu kereta BYD Seal secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian mangsa.
Pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memandu secara berbahaya dengan mengambil kira keadaan kesesakan lalu lintas mengikut Seksyen 42(1) akta sama.
Pertuduhan ketiga pula membabitkan kegagalan memberhentikan kenderaan selepas terbabit dalam kemalangan mengikut Seksyen 52(1) akta berkenaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry mencadangkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.
Pendakwaan turut memohon supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, peguam Khailash Sharma yang mewakili Goh memohon jaminan lebih rendah dengan alasan keluarga anak guamnya memberikan kerjasama kepada polis selepas kejadian.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM36,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dipohon pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 19 November depan.
Ahli keluarga mangsa turut hadir mengikuti prosiding bersama peguam pemerhati, Nur A’minahtul Mardiah Md Nor.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.44 petang Sabtu lalu, kereta BYD Seal dipercayai melanggar belakang Perodua Bezza dinaiki mangsa yang bergerak perlahan dari arah pusat bandar menghala ke Segambut.
Pelanggaran itu turut membabitkan sebuah motosikal sebelum Perodua Bezza berkenaan berpusing ke lorong kanan dan melanggar tiga kenderaan lain iaitu Nissan Almera, Toyota Alphard dan Perodua Myvi.
Kanak-kanak perempuan terbabit maut, manakala bapanya yang memandu Perodua Bezza serta seorang penunggang motosikal cedera.-SAHIH
#KemalanganMaut #BYDSeal #JalanKuching #Mahkamah
