Jerebu semakin membimbangkan, Anwar hubungi Prabowo
Jerebu semakin membimbangkan, Anwar hubungi Prabowo
KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu yang semakin membimbangkan sehingga menjejaskan kualiti udara negara mendorong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghubungi sendiri Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bagi mencari penyelesaian segera.
Anwar berkata, perkara itu dibincangkan menerusi panggilan telefon pada Khamis lalu dan Prabowo turut bersetuju mengambil langkah sewajarnya bagi menangani masalah berkenaan.
“Soal jerebu memang satu tahap yang membimbangkan dan saya sudah hubungi sendiri Presiden Prabowo dan beliau juga bersetuju mengambil langkah-langkah yang perlu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau persediaan menjelang pembentangan Belanjawan 2027.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia sejak beberapa minggu lalu sudah menyatakan kesediaan menghulurkan sebarang bentuk kerjasama kepada Indonesia bagi menangani masalah jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan rakyat.
Katanya, antara langkah diambil termasuk mempertingkatkan operasi pembenihan awan dan hujan yang dilaksanakan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama beberapa agensi berkaitan.
“Kita sudah menyatakan sejak beberapa minggu lalu kesediaan memberikan apa sahaja kerjasama kerana tahap ini membimbangkan dan saya tahu ia menjejaskan kesihatan rakyat.
“Kita umpamanya meningkatkan hampir saban hari operasi pembenihan awan dan hujan oleh TUDM serta beberapa agensi berkaitan,” katanya.
Menurutnya, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup turut diarahkan menghubungi rakan sejawat masing-masing bagi memperkukuh kerjasama menangani jerebu.
Katanya, Mohamad juga diminta menghubungi Sekretariat ASEAN bagi menyelaraskan mesyuarat Menteri-Menteri Berkaitan Alam Sekitar.
Sementara itu, sebanyak 38 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 3 petang ketika laporan dibuat.
Segamat, Johor mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 190.
Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada Rabu lalu, sebanyak 304 titik panas dikesan di Indonesia, masing-masing 94 di Kalimantan dan 210 di Sumatera, manakala satu titik panas direkodkan di Pahang.
ASMC turut melaporkan jerebu rentas sempadan sederhana hingga tebal dikesan di selatan dan tengah Sumatera, Singapura serta selatan Semenanjung Malaysia.-SAHIH
#Jerebu #AnwarIbrahim #PrabowoSubianto #PembenihanAwan
