Pelajar bakal nikmati e-Tuisyen Rakyat percuma dari rumah
Pelajar bakal nikmati e-Tuisyen Rakyat percuma dari rumah
KOTA KINABALU: Pelajar yang mempunyai capaian internet baik di rumah berpeluang mengikuti program e-Tuisyen Rakyat secara percuma tanpa perlu hadir ke Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kementeriannya sedang merangka pendekatan terbaik bagi membolehkan program tuisyen dalam talian itu diperluaskan kepada lebih ramai pelajar di seluruh negara.
Katanya, ketika ini pelajar perlu hadir ke NADI untuk mengikuti program berkenaan yang menawarkan pembelajaran bersama guru secara percuma bagi lima mata pelajaran.
“Kita sedang merangka cara terbaik untuk membolehkan pelajar yang mempunyai internet baik mengikuti program e-Tuisyen Rakyat secara dalam talian dari rumah.
“Program-program ini disediakan secara percuma untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan NADI Inanam Sentral, di sini, yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud yang juga Ahli Parlimen Sepanggar.
Fahmi berkata, usaha itu selaras dengan perkembangan fungsi NADI yang kini bukan sekadar pusat akses digital, malah menjadi hab pembangunan bakat dan kemahiran masyarakat.
Menurutnya, pendekatan NADI turut diperluaskan apabila pengurus dan penolong pengurus digerakkan turun ke komuniti bagi melaksanakan pelbagai modul serta program termasuk menerusi unit NADI on Wheels.
Katanya, sebanyak 1,099 NADI kini beroperasi di seluruh negara termasuk 132 di Sabah susulan perasmian NADI Inanam Sentral.
“Peluasan rangkaian ini penting bagi memastikan lebih ramai rakyat terutama di luar bandar mendapat akses kepada pembelajaran, pembangunan kemahiran, pekerjaan dan peluang ekonomi digital,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, program 1 NADI 1 Prompt Engineer turut menunjukkan sambutan positif apabila merekodkan 1,247 peserta di seluruh negara termasuk 509 penyertaan di Sabah.
Beliau berkata, usaha memperkasakan kemahiran digital itu mampu membuka peluang kepada masyarakat untuk bekerja dari jarak jauh dan menjana pendapatan tanpa perlu meninggalkan komuniti masing-masing.-SAHIH
#kw, eTuisyenRakyat #NADI #FahmiFadzil #PendidikanDigital
