Bera: Antara penguatkuasaan, hutan simpan dan suara Orang Asli
Bera: Antara penguatkuasaan, hutan simpan dan suara Orang Asli
ISU yang berlaku di Tasek Bera pada 15 September lalu tidak sepatutnya dilihat sekadar melalui rakaman pertelingkahan, sekatan atau tangkapan.
Lima individu dipercayai Orang Asli, terdiri daripada seorang lelaki dan empat wanita ditahan ketika operasi penguatkuasaan di Hutan Simpan Pemuliharaan Tasek Bera selepas didakwa menghalang pasukan penguat kuasa menjalankan tugas.
Menurut polis, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan fungsi awam.
Jika benar berlaku kesalahan, undang-undang perlu berjalan. Penguat kuasa mempunyai tugas yang perlu dilaksanakan dan tiada sesiapa wajar mengambil undang-undang ke tangan sendiri.
Namun pada pandangan penulis, tangkapan itu tidak seharusnya menutup satu persoalan lebih besar — apakah sebenarnya yang dipertikaikan oleh masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan?
Tasek Bera bukan sekadar sebuah hutan simpan atau kawasan pemuliharaan di atas peta.
Ia adalah Tapak Ramsar berkepentingan antarabangsa dan pada masa sama kawasan yang cukup sinonim dengan kehidupan masyarakat Orang Asli Semelai sejak sekian lama.

Sebab itu apabila timbul pertikaian membabitkan tanah di kawasan seperti ini, penyelesaiannya tidak boleh sekadar terhenti kepada siapa mempunyai kuasa memasuki kawasan berkenaan atau siapa menghalang operasi.
Kerajaan mempunyai tanggungjawab melindungi hutan.
Masyarakat Orang Asli pula mempunyai sejarah, kehidupan, budaya dan hubungan dengan tanah yang perlu didengar serta diteliti berdasarkan fakta dan undang-undang.
Istilah “tanah adat” sendiri kini menjadi perbahasan.
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini mengingatkan bahawa Akta Orang Asli 1954 tidak memperuntukkan kategori tanah bernama tanah adat dan setiap tuntutan perlu dilihat berdasarkan status tanah, sempadan, sejarah pendudukan serta fakta di lapangan.
Titah itu penting.
Tidak seharusnya sesuatu kawasan terus dianggap menjadi hak seseorang hanya kerana pernah dimasuki atau digunakan.

Tetapi pada masa sama, kedudukan undang-undang mengenai hak Orang Asli juga tidak boleh dibaca daripada Akta Orang Asli semata-mata.
Beberapa keputusan mahkamah di negara ini sebelum ini mengiktiraf hak masyarakat Orang Asli terhadap tanah yang dapat dibuktikan diduduki dan digunakan secara tradisi dari satu generasi ke generasi berikutnya.
Di sinilah perkara ini memerlukan penjelasan, bukan emosi.
Pada 2018, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pernah menyatakan di Dewan Undangan Negeri bahawa istilah tanah adat tidak terpakai di Pahang.

Setahun kemudian ketika berada di Pos Iskandar, Bera, beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri sedang mengambil langkah mewartakan ribuan hektar Tanah Rizab Orang Asli dan menegaskan kebajikan masyarakat berkenaan terus diberi perhatian.
Maka dalam isu terbaru ini, kerajaan negeri mempunyai peluang untuk memberikan penjelasan selengkapnya.
Tunjukkan peta kawasan yang terlibat.
Nyatakan sempadan Hutan Simpan Pemuliharaan Tasek Bera yang menjadi lokasi operasi.
Jelaskan jenis pencerobohan yang dikatakan berlaku, bila ia bermula, berapa keluasan terlibat dan siapa sebenarnya yang meneroka kawasan berkenaan.
Lebih penting, jelaskan sama ada terdapat pertindihan dengan kawasan yang didakwa telah digunakan masyarakat Semelai secara turun-temurun dan apakah rekod JAKOA mengenai kawasan tersebut.
Dalam masa sama, pihak yang mewakili masyarakat Orang Asli juga perlu tampil dengan fakta.

Jika kawasan berkenaan benar-benar dituntut berdasarkan sejarah pendudukan dan penggunaan tradisi, kemukakan rekod, peta, sejarah penempatan serta bukti berkaitan melalui saluran yang sewajarnya.
Kita tidak mahu pihak luar mengambil kesempatan atas nama masyarakat Orang Asli. Kita juga tidak mahu masyarakat Orang Asli yang benar-benar mempunyai kepentingan terhadap tanah berkenaan hilang suara hanya kerana keseluruhan isu dilabel sebagai “pencerobohan”.
Lima tangkapan semalam boleh disiasat mengikut undang-undang.
Tetapi pertikaian mengenai tanah tidak selesai dengan gari.
Ia memerlukan fakta, sempadan yang jelas, pendengaran kedua-dua pihak dan akhirnya keberanian mencari penyelesaian yang adil.
Kerana dalam isu sebegini, hutan perlu dipelihara, undang-undang perlu dihormati — dan suara masyarakat yang sudah sekian lama hidup bersama hutan juga tidak boleh diketepikan.-SAHIH
#kw Tasek Bera, Orang Asli Semelai, tanah Orang Asli, Pahang
