Produk koperasi curi tumpuan di MAHA 2026
Produk koperasi curi tumpuan di MAHA 2026
SERDANG: Penyertaan ANGKASA pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 menjadi platform memperluas promosi produk koperasi termasuk rangkaian makanan berjenama Funway serta coklat Voshe Ville.
Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah turut berkesempatan mengunjungi reruai ANGKASA di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, pada 29 Ogos lalu.
Dua reruai ANGKASA yang ditempatkan di Pavilion Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menampilkan pelbagai rangkaian produk OEM ANGKASA berjenama Funway.
Antara produk yang diketengahkan ialah biskut, sardin, makanan ringan serta bahan masakan yang dipasarkan melalui rangkaian dan ekosistem gerakan koperasi.
Selain produk berkenaan, reruai ANGKASA turut menampilkan coklat berjenama Voshe Ville yang merupakan produk hiliran daripada tanaman koko yang diusahakan koperasi.
Kehadiran produk berkenaan sekali gus memperlihatkan kemampuan koperasi untuk terlibat lebih jauh dalam rantaian nilai sektor pertanian dan makanan, termasuk penghasilan produk hiliran untuk pasaran pengguna.
Dalam kunjungan itu, Abdul Fattah turut meluangkan masa meninjau beberapa reruai pameran serta jualan koperasi yang mengambil bahagian sepanjang MAHA 2026.
MAHA 2026 anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dengan kerjasama agensi pertanian, pemain industri serta pengusaha sektor agro berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September ini.
Penganjuran kali ini mengangkat tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan” dengan pelbagai aktiviti serta pameran berkaitan sektor pertanian dan industri makanan negara.
Ekspo berkenaan dijangka menarik lebih empat juta pengunjung menerusi pameran, demonstrasi teknologi pertanian, jualan hasil segar, persembahan budaya serta program agropelancongan.
MAHA 2026 turut menjadi platform kepada petani, penternak, nelayan dan usahawan agro untuk mengetengahkan produk masing-masing, selain memperlihatkan perkembangan serta potensi terkini sektor pertanian negara.-SAHIH
#kw: ANGKASA, MAHA 2026, MAEPS, Abdul Fattah Abdullah, koperasi, Funway, Voshe Ville, KUSKOP, produk koperasi, pertanian, keterjaminan makanan
