AUKU lima dekad perlu dinilai semula secara menyeluruh
AUKU lima dekad perlu dinilai semula secara menyeluruh
KUALA LUMPUR: Perubahan landskap pendidikan tinggi dan perkembangan negara sepanjang lima dekad menjadi antara faktor Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) perlu diteliti semula supaya kekal relevan dengan keperluan semasa.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, langkah susulan akan diambil bagi memastikan proses pemansuhan AUKU dapat dilaksanakan secara menyeluruh, selaras dengan pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya aspek perundangan berkaitan mahasiswa dinilai semula.
“AUKU ini sudah lima dekad. Tentunya ada perkara yang perlu kita lihat… semua aspek. Negara pun dah berkembang maju dalam pelbagai bidang pendidikan.
“Jadi tentunya ada perkara-perkara yang perlu kita lihat balik,” katanya.
Sebelum ini, Zambry memaklumkan penelitian terhadap AUKU bertujuan menambah baik kerangka undang-undang sedia ada bagi memastikan ekosistem pendidikan tinggi kekal relevan dan tidak dikongkong oleh peraturan lama.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut mempertimbangkan penggubalan akta baharu seperti One Higher Education Act bagi menyelaraskan pelbagai akta berkaitan pendidikan tinggi di bawah satu kerangka yang lebih menyeluruh.
Sebuah jawatankuasa bebas juga sudah ditubuhkan untuk mengumpul dan menilai memorandum serta pandangan daripada golongan akademik dan wakil mahasiswa.
Menurut Zambry, tujuh seksyen berkaitan mahasiswa termasuk aspek kebebasan yang diperuntukkan di bawah AUKU akan diberi keutamaan dalam proses penelitian dan pemansuhan akta berkenaan.
Daripada keseluruhan 44 seksyen dalam AUKU, tujuh daripadanya berkaitan mahasiswa manakala selebihnya merangkumi aspek penubuhan, pentadbiran dan tadbir urus universiti.
“Telah pun dibincangkan di Kabinet, cuma dari segi hal-hal yang berkaitan secara terperinci itu akan kita bincang berterusan di peringkat Kabinet,” katanya.
Beliau menjelaskan AUKU perlu dilihat dalam konteks lebih menyeluruh kerana akta berkenaan bukan hanya berkaitan mahasiswa, sebaliknya merupakan akta induk yang menjadi asas kepada penubuhan sesebuah universiti.
Terdahulu, Anwar memaklumkan cadangan pemansuhan AUKU antara lain bertujuan memberi ruang kepada mahasiswa bersuara secara bebas selain mengembangkan daya cipta, kreativiti dan pemikiran kritis.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw: AUKU, Zambry Abd Kadir, Anwar Ibrahim, Kementerian Pendidikan Tinggi, mahasiswa, universiti, pendidikan tinggi, pemansuhan AUKU, One Higher Education Act
