PDRM hantar pasukan khas ke Pakistan siasat rakyat Malaysia ditahan
PDRM hantar pasukan khas ke Pakistan siasat rakyat Malaysia ditahan
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghantar pasukan khas ke Islamabad, Pakistan bagi menyiasat laporan penahanan beberapa rakyat Malaysia yang disyaki terbabit dalam sindiket penipuan dalam talian.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya bagaimanapun belum dapat mengesahkan jumlah sebenar rakyat Malaysia yang ditahan kerana siasatan masih di peringkat awal.
Menurutnya, tindakan bersepadu antara kedua-dua negara diperlukan bagi mendapatkan gambaran sebenar berhubung kegiatan berkenaan termasuk mengenal pasti rangkaian pihak yang terbabit.
“Menteri Dalam Negeri ada memaklumkan kepada saya semalam. Lawatan-lawatan ke tempat tertentu ini memerlukan tindakan yang bersepadu, bukan sahaja antara kita tetapi ‘government to government’,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Aset All Terrain Tactical Assault E-Bike (ATEB), Rabu.
Turut hadir Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.
Mohd Khalid berkata, PDRM kini giat mengesan rangkaian pihak yang dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan dengan kerjasama penuh pihak berkuasa Pakistan.
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan pihak berkuasa Pakistan menahan 258 warga asing dalam serbuan ke atas sebuah pusat panggilan penipuan di kawasan perumahan Gulberg Green di pinggir Islamabad.
Tangkapannya dilaporkan membabitkan 40 rakyat China, 170 rakyat Vietnam selain warga Malaysia dan beberapa negara Asia lain.
Mohd Khalid berkata, trend semasa menunjukkan kegiatan penipuan dalam talian kini banyak membabitkan warga asing terutama dari China.
Katanya, Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di Cyberjaya pula menerima lebih 500 panggilan daripada mangsa setiap hari dan setiap aduan akan disusuli dengan laporan polis bagi membolehkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) mengambil tindakan segera.
Keseriusan kegiatan berkenaan turut terbukti apabila JSJK menahan 182 warga asing bulan lalu yang dipercayai menjadikan Malaysia sebagai hab kegiatan penipuan dalam talian.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#PDRM #PolisDirajaMalaysia #KetuaPolisNegara #MohdKhalidIsmail #Scam #PenipuanDalamTalian #OnlineScam #SindiketScam #Pakistan #Islamabad #RakyatMalaysia #JSJK #NSRC #BukitAman #JenayahKomersial #Scammer
