Bubur asyura erat ukhuwah Biro Muslimat SAS
Foto : Rohaya Mustapa (lima dari kanan) bersama-sama sebahagian sahabat Biro Muslimat SAS yang terbabit dengan membuat bubur asyura versi utara.
Bubur asyura erat ukhuwah Biro Muslimat SAS
CHERAS – Biro Muslimat Surau As-Siddiq (SAS), Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), di sini, meneruskan tradisi kemasyarakatan dengan bergotong-royong memasak bubur asyura sempena bulan Muharam, sekali gus memupuk semangat ukhuwah dan menyemai amalan bersedekah dalam kalangan komuniti.
Aktiviti itu membabitkan lebih 50 sahabat Biro Muslimat yang berganding bahu menyediakan bubur asyura di halaman luar dapur surau berkenaan, bermula awal pagi 16 Julai lalu.
Sebanyak tiga periuk besar digunakan, manakala proses penyediaan bahan rencah dilakukan secara bersama. Kerja mengacau adunan pula dilakukan secara bergilir-gilir kerana mengambil masa yang lama dan memerlukan tenaga bagi memastikan bubur masak dengan sempurna.
Wakil Biro Muslimat SAS, Rohaya Mustapa, berkata pihaknya menyediakan bubur asyura versi utara untuk dihidangkan dan diagihkan kepada jemaah selepas solat Zuhur, Asar dan Isyak.
Menurutnya, sebanyak 500 bekas bubur asyura disediakan untuk diagihkan kepada jemaah surau untuk dinikmati bersama keluarga, manakala sebahagian lagi menikmatinya bersama rakan-rakan di ruang dewan solat terbuka.
“Bubur asyura versi utara terkenal dengan rasanya yang manis, berlemak dan pekat, selain menggunakan pelbagai bahan seperti tepung beras, tepung jagung, santan pekat, gula merah, gula pasir, ubi keledek, labu manis, pisang, jagung manis serta pelbagai jenis kekacang,” katanya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa SAS, Hanizah Abdul Hamid, menzahirkan penghargaan kepada semua sahabat biro yang meluangkan masa bergotong-royong memasak dan membungkus bubur berkenaan.
“Walaupun terdiri daripada pelbagai peringkat usia, kami masih mampu berganding bahu menjayakan aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti,” katanya.
Rakannya, Ema Suriani, turut merakamkan penghargaan kepada penginfak yang membantu menyediakan bahan rencah, selain sahabat biro yang komited sehingga selesai proses memasak dan pembungkusan.
Guru Kelas Mengaji Dewasa SAS, Ustaz Alias Ahmad, menyifatkan usaha itu sebagai aktiviti murni yang dapat mengeratkan keharmonian dan ukhuwah dalam komuniti.
Beliau berkata, bubur asyura turut diagihkan kepada jemaah yang menghadiri bacaan Yasin dan tahlil pada sebelah malam, sebelum mereka pulang selepas solat Isyak. – SAHIH.
