Lapan budak Asli selamat, kepala air perangkap mereka atas batu
Lapan budak Asli selamat, kepala air perangkap mereka atas batu
CAMERON HIGHLANDS: Lapan kanak-kanak lelaki berusia antara empat hingga 12 tahun berdepan detik cemas apabila terperangkap di atas batu selepas fenomena kepala air berlaku secara tiba-tiba di Sungai Menson, Perkampungan Orang Asli Kampung Terisu, Kuala Terla, di sini, petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.10 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, jentera bomba tiba pada jam 5.47 petang selepas menempuh jarak kira-kira 15 kilometer.
“Komander Operasi memaklumkan mangsa tersangkut di atas batu akibat fenomena kepala air yang berlaku secara tiba-tiba.
“Dipercayai terdapat lapan mangsa berada di atas batu dan memerlukan bantuan untuk menyeberangi sungai ke tempat selamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, keadaan aliran sungai ketika itu deras dengan jarak kira-kira 20 meter dari tebing ke lokasi mangsa, sekali gus menyukarkan operasi menyelamat.
Menurut Mohd Salahuddin, pasukan keluaran operasi memulakan usaha menyelamat menggunakan tali penyelamat bagi memastikan mangsa dapat dibawa keluar dengan selamat.

“Pada jam 7.40 malam, enam mangsa berjaya diselamatkan manakala dua lagi masih berada di atas batu,” katanya.
Beliau berkata, bantuan daripada BBP Ringlet turut digerakkan dengan kekuatan tambahan dua anggota serta sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton.
“Pada jam 7.58 malam, semua mangsa berjaya diselamatkan dan diserahkan kepada polis serta keluarga masing-masing,” katanya.
Operasi menyelamat itu membabitkan tujuh anggota BBP Cameron Highlands dengan sebuah jentera FRT dan sebuah URVAN, selain bantuan BBP Ringlet.-SAHIH
