NAT Antarabangsa ANGKASA Perlis 2026 ‘gegar’ Pasar Terapung, 50 pempamer tarik pengunjung
NAT Antarabangsa ANGKASA Perlis 2026 ‘gegar’ Pasar Terapung, 50 pempamer tarik pengunjung
KANGAR: Pasar Terapung JPS di sini dijangka menjadi tumpuan ramai apabila NAT Antarabangsa ANGKASA Perlis 2026 berlangsung selama tiga hari bermula 3 Mei ini, sekali gus merancakkan ekonomi komuniti dan gerakan koperasi di Perlis.
Program anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) itu bukan sekadar pesta jualan, malah menjadi platform memperkasa koperasi, komuniti serta usahawan tempatan menerusi promosi produk dan padanan perniagaan.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata, penganjuran berkenaan menghimpunkan penyertaan koperasi, usahawan mikro kecil dan sederhana (PMKS), agensi kerajaan serta pemain industri dari dalam dan luar negara.
Katanya, sebanyak 50 pempamer koperasi akan mengambil bahagian dengan menampilkan pelbagai produk termasuk makanan dan minuman, barangan keperluan asas, hasil pertanian serta perkhidmatan inovatif.
“Program ini menyediakan ruang komprehensif kepada koperasi untuk memasarkan produk secara terus kepada pengguna selain membuka peluang jaringan perniagaan yang lebih meluas.
“Ia juga selaras dengan usaha ANGKASA memperkasa koperasi sebagai platform ekonomi rakyat bagi meningkatkan pendapatan serta mengurangkan beban kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, hari pertama program pada 1 Mei akan menampilkan jualan produk NAT serta Program Jualan Rahmah MADANI yang menawarkan barangan keperluan pada harga berpatutan.
Turut diadakan pertandingan mewarna bagi menarik penyertaan kanak-kanak serta menggalakkan penglibatan keluarga.
Pada hari kedua, pengunjung bakal menikmati tarikan utama menerusi Pasar Tani Terapung FAMA yang menawarkan hasil pertanian segar dan produk agro makanan, selain memberi pengalaman membeli-belah unik di atas platform terapung yang jarang ditemui.
Program Puisi Nusantara dan persembahan gendang turut diadakan bagi mengetengahkan elemen seni budaya serantau.
Kemuncak program pada 3 Mei menampilkan Wacana NAT Antarabangsa: Cabaran dan Masa Depan yang akan dirasmikan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Abu Bakar Hamzah.
Majlis perasmian NAT Antarabangsa ANGKASA Perlis 2026 pula akan disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Perlis pada sebelah malam.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan program itu yang turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah, persembahan khas dan pertunjukan bunga api.-SAHIH
