KGMMB desak kerajaan kembalikan kuota 300 liter minyak
KGMMB desak kerajaan kembalikan kuota 300 liter minyak
Jerantut – Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menggesa kerajaan mengambil tindakan segera untuk mengembalikan kuota 300 liter minyak kepada guru dan pegawai pendidikan susulan peningkatan kos perjalanan yang semakin membebankan golongan pendidik.

Presidennya, Mohd Sobri Yusuf, berkata realiti tugas guru masa kini memerlukan pergerakan yang tinggi, berbeza dengan situasi semasa pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebelum ini.
Menurutnya, selain hadir ke sekolah setiap hari, guru juga terlibat aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum termasuk melatih dan mengiringi murid ke pertandingan di pelbagai peringkat sebagai perjalanan tambahan rasmi.
“Ramai yang tidak melihat hakikat bahawa guru menggunakan kenderaan sendiri hampir setiap hari, berbanding jabatan lain yang mempunyai kenderaan rasmi masing-masing.
“Guru bukan sahaja ke sekolah, malah turut menggunakan kenderaan sendiri bagi menghadiri mesyuarat, kursus dan program di peringkat PPD, JPN serta kementerian,” katanya.
Beliau berkata, terdapat juga guru yang memikul tanggungjawab tambahan sebagai jurulatih sukan, jurulatih utama dan fasilitator program pendidikan yang memerlukan pergerakan berterusan di luar tugas hakiki.
Selain itu, katanya, sebahagian guru menjalani kehidupan berjauhan dengan keluarga dan perlu berulang-alik ke kampung halaman, selain ada yang ditempatkan jauh dari kediaman asal sehingga terpaksa menempuh perjalanan harian yang panjang.
“Dalam masa sama, pegawai pendidikan di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) juga berdepan situasi sama apabila perlu melakukan pemantauan serta bimbingan ke sekolah secara kerap.
“Pengembalian kuota 300 liter minyak bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi satu pengiktirafan terhadap pengorbanan guru sebagai tulang belakang sistem pendidikan negara,” katanya.
Menurutnya, kerajaan perlu melihat isu ini secara menyeluruh dan realistik kerana kebajikan guru tidak boleh dipandang ringan memandangkan mereka adalah pemacu utama pembangunan modal insan negara.
“KGMMB berharap kerajaan dapat meneliti semula dasar sedia ada dan mengambil langkah segera bagi memastikan kesejahteraan serta motivasi warga pendidik terus terpelihara,” katanya.-SAHIH.
