KPM perkukuh tujuan asal SSDM, dua kesatuan sambut baik
KPM perkukuh tujuan asal SSDM, dua kesatuan sambut baik
JERANTUT – Dua kesatuan guru menyambut baik keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengembalikan Sistem Salahlaku Disiplin Murid (SSDM) kepada fungsi asalnya sebagai sistem dokumentasi kesalahan disiplin murid di sekolah, sekali gus bukan lagi alat pemantauan yang menambah beban tugas guru.

Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohd Sobri Yusuf, berkata langkah berkenaan adalah pendekatan pragmatik dan berpandangan jauh dalam memperkukuh pengurusan disiplin serta memperkasakan peranan guru di bilik darjah.
“KGMMB menyokong penuh usaha KPM menstruktur semula pelaksanaan SSDM agar ia kembali kepada matlamat asal, iaitu merekod kesalahan murid, bukannya dijadikan alat pemantauan tambahan terhadap guru.
“Pendekatan ini membolehkan guru menumpukan semula kepada tugas hakiki mereka, pengajaran dan pembelajaran,” katanya.
Beliau berkata, pengurusan disiplin yang berkesan memerlukan sistem sokongan yang jelas, praktikal dan tidak membebankan warga pendidik, selaras dengan usaha meningkatkan keberkesanan pentadbiran sekolah.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM), Mohamad Zapawi Mamat, berkata KPM perlu memastikan pelaksanaan semula SSDM dilaksanakan dengan garis panduan yang telus serta latihan mencukupi kepada semua pihak terlibat.
“SSDM seharusnya menjadi alat sokongan, bukan beban tambahan. KPM juga perlu memastikan martabat profesion perguruan terus terpelihara dengan tidak membebankan guru dengan tugas pentadbiran yang berlebihan,” katanya.
Kedua-dua kesatuan itu berpendapat, langkah penambahbaikan SSDM adalah penting bagi memastikan sistem pendidikan negara lebih berfokus kepada sahsiah dan pembangunan murid, di samping mengekalkan kesejahteraan guru sebagai tonggak utama sekolah.-SAHIH
