Projek bandar kontena MCG simbol solidariti rakyat Malaysia untuk Gaza
Projek bandar kontena MCG simbol solidariti rakyat Malaysia untuk Gaza
TEMERLOH: Projek pembinaan bandar kontena bersepadu oleh Muslim Care Global (MCG) menjadi simbol solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal akibat peperangan berpanjangan di Gaza.
Pengerusi MCG, Haji Zakaria Abdul Latif, berkata usaha itu dilaksanakan menerusi projek Integrated Green Resilient Shield atau Bandar Hijau Bersepadu yang merangkumi pembinaan 1,000 unit kontena kediaman dilengkapi kemudahan asas seperti masjid, sekolah dan pusat kesihatan.

“Kontena berkenaan dibina di China dan kini berada di sempadan Rafah, Mesir. Ia akan dibawa masuk ke Gaza secara berperingkat sebaik tempoh gencatan senjata dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.
Menurutnya, struktur kontena direka supaya tahan serangan dan boleh dialihkan sekiranya kawasan berkenaan dibom, menjadikannya lebih selamat serta praktikal untuk penduduk yang terjejas.
Setiap kontena berkeluasan 40 x 10 kaki dilengkapi bilik, tandas dan dapur kecil, manakala bagi keluarga besar digunakan reka bentuk L-shape. Kos pembinaan dianggarkan antara RM20,000 hingga RM48,000 seunit bergantung kepada saiz dan kelengkapan.
“Selain penempatan, MCG turut merancang pembinaan masjid ringan berstruktur keluli bernilai kira-kira RM250,000 yang boleh menampung lebih 500 jemaah. Projek ini dijalankan dengan kerjasama NGO antarabangsa termasuk dari Indonesia dan Asia Barat,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif itu merupakan kesinambungan daripada bantuan kemanusiaan bulanan yang disalurkan MCG ke Gaza sejak beberapa tahun lalu, termasuk bekalan makanan, air bersih dan roti melalui rakan NGO tempatan berpusat di Istanbul.
“Walaupun sumbangan kami kecil berbanding keperluan dua juta penduduk Gaza, sekurang-kurangnya 14,000 orang menerima manfaat setiap bulan hasil kutipan dan bantuan rakyat Malaysia,” katanya.

Zakaria berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi penceramah khas pada Majlis Sambutan Hari Warga Emas Sedunia 2025 bersama Pasukan Kesihatan Temerloh dan Muslim Care Global (MCG) – Aid4Gaza di Dewan Imam Perang Teh, Sanggang Temerloh , pagi tadi.
Majlis berkenaan turut disertai ahli Kelab Warga Emas Sanggang (KWES) bagi meraikan warga emas serta menzahirkan solidariti terhadap rakyat Palestin melalui perkongsian pengalaman misi kemanusiaan di Gaza.-SAHIH
