Silat Nusantara Dihimpunkan, Warisan Melayu Diperkasakan
Silat Nusantara Dihimpunkan, Warisan Melayu Diperkasakan
RAUB – Seni mempertahankan diri warisan bangsa, silat, bakal dihimpunkan dalam skala besar menerusi Perhimpunan Silat Nusantara yang dirancang berlangsung tahun hadapan, melibatkan penyertaan pesilat dari seluruh negara serta negara serumpun termasuk Indonesia.
Program berkenaan diumumkan sempena Himpunan 500 Pendekar yang menghimpunkan ahli pelbagai perguruan silat dari seluruh Pahang, sebagai usaha memperkasa semula warisan seni bela diri Melayu dalam kalangan generasi muda.

Fadzli Mohamad Kamal menyantuni dua pesilat cilik di majis tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal, berkata perhimpunan itu bukan sekadar medan mempertemukan pendekar pelbagai aliran di rantau ini.
“Perhimpunan pesilat ini menjadi wadah memperkukuh silaturahim serta membangkitkan semula minat masyarakat terhadap seni persilatan yang kian terpinggir.
”Silat bukan hanya sistem bela diri, tetapi juga medium pendidikan moral, disiplin dan adab yang diwariskan daripada guru kepada murid. Ia wadah membina ketahanan diri pelajar bagi mengekang gejala sosial seperti buli dan gengsterisme,” katanya ketika menghadiri Program Pahang Bertanjak dan Berkain Sarong di sini, hari ini.
Beliau berkata, silat dipercayai berkembang di Alam Melayu sejak abad ke-7, dengan catatan awal kemunculannya di Sumatera, Tanah Melayu dan Kepulauan Riau, menjadikannya antara warisan tertua bangsa Melayu.
“Sehubungan itu, penganjuran Perhimpunan Silat Nusantara turut menampilkan pameran senjata tradisional Melayu seperti keris, parang, badik dan pedang yang melambangkan kehalusan seni pertukangan Melayu.
”Sudah sampai masanya kita tonjolkan kembali keindahan seni tempa senjata yang pernah menjadi kebanggaan bangsa,” katanya.
Menurut Fadzli, Pahang kini mencatat 125 perguruan silat berdaftar dengan PESAKA Pahang, menjadikan negeri ini antara yang paling aktif dalam memelihara seni persilatan Melayu.
Katanya, antara perguruan berkenaan termasuk Silat Lincah Pahang, Silat Gayung Pahang (cabang Gayung Melayu), Silat Cekak Pahang, Silat Cekak Hanafi, Silat Kalimah Pahang, Silat Kuntau Tekpi Pahang, Silat Hulubalang Pahang, Silat Sendeng Pahang dan Silat Gayung Fatani (Pahang) yang aktif di Raub, Kuantan dan Jerantut.
“Perhimpunan ini dijangka menjadi manifestasi kekuatan warisan bangsa yang bukan sahaja mengangkat martabat silat sebagai seni bela diri, tetapi juga sebagai simbol ketahanan, keperibadian dan jati diri Melayu yang luhur,” katanya.
Fadzli berkata, penganjuran kerajaan negeri bersama Pejabat Belia dan Sukan Raub itu perlu diteruskan sebagai usaha memperkasa silat sebagai benteng budaya dan spiritual bangsa agar tidak luput ditelan arus moden.
“Apabila generasi muda kembali mendakap silat, mereka bukan sekadar mempelajari langkah dan buah, tetapi menjiwai falsafah kesetiaan, keberanian serta hormat — nilai yang membentuk keutuhan bangsa Melayu sejak dahulu,” katanya.-SAHIH