Khairy Tempelak Kerajaan: Cakap Gagah Bela Palestin, Tapi Jual Aset Pada BlackRock
Khairy Tempelak Kerajaan: Cakap Gagah Bela Palestin, Tapi Jual Aset Pada BlackRock
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan dasar kerajaan yang baik perlu diukur melalui tiga prinsip utama atau “litmus test” iaitu konsistensi, keperluan dan ketelusan (3K).
Beliau berkata, dalam isu urus niaga melibatkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), kerajaan didakwa gagal menunjukkan ketegasan pada ketiga-tiga aspek tersebut, sekali gus mencerminkan kelemahan prinsip dasar semasa.
Katanya, pendirian kerajaan Madani yang sebelum ini lantang memperjuangkan isu Palestin ternyata bercanggah dengan tindakan membenarkan urus niaga yang membabitkan syarikat mempunyai kaitan dengan BlackRock, yang didakwa menyokong penindasan terhadap rakyat Gaza.
“Kalau kita betul-betul perjuang Palestin, kenapa masih berurusan dengan syarikat yang ada kaitan dengan pihak terlibat dalam genosid di Gaza? Itu bukan konsistensi dasar,” katanya ketika berucap dalam satu forum malam tadi.
Khairy turut menegaskan bahawa MAHB bukanlah syarikat rugi, malah mencatat keuntungan RM500 juta tahun lalu sebelum termeterainya perjanjian operasi baharu pada Mac 2025.
“Kalau dah untung dan ada kemampuan untuk naik taraf lapangan terbang dengan dana sendiri, kenapa nak jual kepada pihak luar? Ini menunjukkan keperluan untuk urus niaga tersebut tidak wujud,” katanya.
Beliau menambah, aspek ketelusan juga gagal apabila keputusan urus niaga itu dikatakan tidak dimaklumkan sepenuhnya kepada Kabinet dan tidak dikomunikasikan dengan jelas kepada rakyat.
“Kalau benar kerajaan tidak memberitahu menteri-menteri lain, ini bukan lagi soal strategi pelaburan, tapi soal integriti,” katanya.
Menurut Khairy, kegagalan mematuhi tiga prinsip 3K itu menjadikan kerajaan kini dilihat seolah-olah bersekongkol dengan pihak yang menindas rakyat Palestin.-SAHIH