KGMMB gesa KPM bertindak tegas tangani krisis disiplin pelajar
KGMMB gesa KPM bertindak tegas tangani krisis disiplin pelajar
JERANTUT: Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertindak tegas menangani peningkatan kes disiplin dan jenayah dalam kalangan pelajar yang semakin membimbangkan.
Kejadian, terkini dilaporkan berlaku seorang pelajar lelaki tingkatan dua menikam pelajar perempuan tinkagatan empat di sekolah yang sama, termasuk insiden buli, pergaduhan serta rogol beramai-ramai yang menjadi-jadi kebelakangan ini.

Presiden KGMMB, Mohd Sobri Yusuf,
Presidennya, Mohd Sobri Yusuf, menegaskan gejala itu mencemar imej sekolah dan menggugat keselamatan warga pendidik serta pelajar lain.
Menurutnya, budaya tidak menghormati guru dan undang-undang sekolah kini semakin parah akibat pendekatan terlalu longgar terhadap penguatkuasaan disiplin.
“Guru kini seolah-olah terikat tangan. Hukuman disiplin bukan untuk mendera, tetapi mendidik dan membentuk sahsiah. Budaya memanjakan pelajar mesti dihentikan.
“Oleh itu, menggesa KPM mengembalikan semula imuniti guru seperti termaktub dalam Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bil. 7 Tahun 2003 supaya pendidik boleh mengambil tindakan berhemah tanpa takut dikenakan tekanan atau tindakan undang-undang,” katanya.
Mohd Sobri turut mendesak PIBG memperkukuh peranan ibu bapa dengan penganjuran seminar keibubapaan berkala bagi menanam nilai disiplin dan tanggungjawab di rumah.
“Masalah disiplin mesti ditangani secara menyeluruh. Jangan biar guru berjuang sendirian,” tegasnya.
“KGMMB sedia bekerjasama dengan KPM memastikan sistem pendidikan kembali membina generasi berilmu, berakhlak dan beradab,” katanya.-SAHIH.