70 peratus daripada 5,000 veteran ATM pilih usahawan setiap tahun
70 peratus daripada 5,000 veteran ATM pilih usahawan setiap tahun
TEMERLOH – Seramai 3,000 daripada 5,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tamat perkhidmatan setiap tahun memilih bidang keusahawanan sebagai kerjaya kedua selepas bersara.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata jumlah itu bersamaan 70 peratus daripada keseluruhan veteran ATM yang menamatkan perkhidmatan secara tahunan dan ia menunjukkan minat yang tinggi terhadap bidang perniagaan.
> “Bidang keusahawanan menjadi pilihan utama kerana ia memberi peluang luas kepada veteran untuk mengubah taraf hidup, selain membantu keluarga dan masyarakat sekeliling. Kerajaan sentiasa menyokong langkah ini dengan pelbagai program serta inisiatif,” katanya.
Turut hadir, Penolong Pengarah Bahagian Dasar JHEV ATM, Mejar Muhaizam Mustapa Delmi; Pengarah JHEV ATM Cawangan Pahang, Mejar Khairul Azhar Md Daud serta wakil persatuan veteran ATM negeri ini.
Adly berkata demikian selepas menghadiri Program Peduli Veteran MADANI (PVM) di Kampung Pangsenam, Temerloh, semalam.
Dalam program itu, seramai 15 veteran ATM termasuk golongan asnaf, balu serta usahawan disantuni.
Antara bantuan yang disampaikan ialah makanan ikan dan benih anak ikan patin kepada veteran yang mengusahakan ternakan ikan sangkar, manakala dua set impact wrench bersama pengecas bateri diberikan kepada veteran lain yang mengendalikan bengkel kereta.
Selain itu, Adly turut menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada veteran terpilih serta bantuan kesihatan, peralatan pesakit, bantuan sara hidup dan bakul rahmah.
Katanya, penganjuran PVM menjadi bukti komitmen Kementerian Pertahanan dan JHEV dalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan bekas anggota tentera sentiasa terpelihara.-SAHIH