Mangsa lemas ditemui 200 meter dari lokasi jatuh
Mangsa lemas ditemui 200 meter dari lokasi jatuh
MUADZAM SHAH – Seorang lelaki yang terjatuh dari bot ketika memancing di Sungai Kampung Kedaik Lama, di sini, semalam, ditemui lemas kira-kira 200 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Rahim berkata, mangsa dikenali sebagai Sharuddin, 43, ditemui pasukan penyelamat pada jam 11.25 pagi selepas operasi pencarian digerakkan.
“Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Pekan bersama anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah melaksanakan strategi pencarian di permukaan air serta selaman di sekitar kawasan mangsa jatuh.
Mangsa akhirnya ditemui pada jarak 200 meter dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 10.28 pagi sebelum pasukan operasi bergegas ke lokasi.
“Seramai lapan anggota bomba dari BBP Muadzam Shah bersama sebuah bot fiber dikerahkan.
Mereka turut dibantu lima anggota PPDA Pekan, selain sokongan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan orang awam,” katanya.
Menurutnya, PDRM menghantar seorang pegawai bersama sembilan anggota, manakala APM menurunkan lima anggota.

Seramai 10 orang awam juga membantu operasi.
“PPDA tiba di lokasi pada jam 10.43 pagi, memulakan selaman jam 11.05 pagi dan tidak lama kemudian, anggota bomba Muadzam Shah yang menjalankan pencarian di permukaan berjaya menemui mangsa,” katanya.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan.-SAHIH
—