Bersatu Pahang Tenang, Dakwaan Ketua BPN Lompat Parti Dinafikan
KUANTAN – Spekulasi mengenai pergolakan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang kembali hangat selepas tular video Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Pahang, Datuk Abdul Khalib Abdullah, yang dikaitkan dengan hasrat meninggalkan parti itu untuk menyertai PAS.
Video tersebut yang dirakam ketika Program Ceramah Sambutan 40 Tahun PAS Rompin kelmarin menimbulkan tanggapan kononnya Ahli Parlimen Rompin itu sedang mencari jalan selamat politik selepas Bersatu Pahang dikatakan semakin lemah.
Namun, Abdul Khalib menafikan perkara itu dan menegaskan kenyataannya hanyalah dalam nada gurauan ketika berceramah. Beliau menolak dakwaan kononnya Bersatu Pahang bergolak serta menegaskan hubungan dengan PAS kekal baik melalui Perikatan Nasional (PN).
“Tak ada isu saya nak tinggalkan parti. Bersatu Pahang berada dalam keadaan aman dan damai.
Kita sudah empat kali bermesyuarat dan sekarang fokus untuk bersama PAS menjayakan program Hogoh Jelai 30K,” katanya dalam satu penjelasan yang dimuat naik semalam.
Beliau turut berterima kasih kepada media yang menurutnya ‘mensensasikan’ kenyataan tersebut, sambil menyifatkan dakwaan itu sekadar usaha pihak tertentu mencetuskan persepsi tidak benar.
Katanya lagi, Bersatu Pahang kini sedang bekerja keras memastikan PN terus kukuh di negeri itu menjelang pilihan raya akan datang dengan slogan PN Teraju Pahang.
“Kalau saya nak tinggalkan parti, mungkin saya kata nak masuk UMNO, itu barulah betul.
Tapi kita bersama PAS dalam komponen PN, tak timbul soal lompat parti,” katanya.
Dengan penjelasan itu, Abdul Khalib menutup spekulasi kononnya beliau bakal meninggalkan Bersatu untuk menyertai PAS.-SAHIH