134,916 penagih dadah direkod, angka makin membimbangkan
134,916 penagih dadah direkod, angka makin membimbangkan
MARAN – Masalah dadah di negara ini semakin membimbangkan apabila seramai 134,916 penagih dan penyalah guna direkodkan di seluruh negara setakat Jun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata angka itu memberi gambaran jelas bahawa dadah bukan lagi isu kecil, sebaliknya ancaman serius yang boleh menjejaskan kestabilan sosial dan ekonomi negara.
“Di Pahang sahaja, seramai 9,452 penagih direkodkan dalam tempoh sama dengan kadar penagihan bersamaan 567 orang bagi setiap 100,000 penduduk. Kebanyakan mereka terdiri daripada golongan muda berusia 15 hingga 35 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Jelajah Pahang Teguh Dadah Terkawal (PTDT) 2025 yang disempurnakan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Dewan Balora Mastika, Bandar Tun Abdul Razak, Maran, hari ini.
Saifuddin berkata, dadah jenis sintetik seperti methamphetamine dan ketamin kekal menjadi pilihan utama penagih berbanding dadah tradisional, dengan penyebaran yang semakin meluas.

Menurutnya, keadaan di kawasan Felda di Pahang turut membimbangkan apabila faktor seperti kurang aktiviti sosial berfaedah, pengabaian pendidikan serta kelemahan pengawasan komuniti menjadikan kawasan itu lebih terdedah kepada gejala dadah.
Beliau berkata ketika ini seramai 53,800 klien sedang mendapatkan rawatan di pusat pemulihan penagihan narkotik (PUSPEN) dan pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah di seluruh negara, manakala 1,917 orang lagi menerima rawatan di pusat pemulihan persendirian.
“Kerajaan tidak mampu bergerak sendirian. Usaha membanteras dadah memerlukan kerjasama strategik kerajaan negeri, agensi berkaitan dan masyarakat,
” katanya sambil menegaskan tumpuan kekal diberi kepada empat teras utama iaitu penguatkuasaan, pencegahan, rawatan serta pemulihan berperikemanusiaan.-SAHIH