Disangka warga asing, rupanya remaja tempatan maut diseret 40 meter
Disangka warga asing, rupanya remaja tempatan maut diseret 40 meter
BERA – Penunggang motosikal yang maut selepas bertembung dan diseret pacuan empat roda sejauh hampir 40 meter di Kilometer 7, Jalan Bera–Mayam, pagi tadi pada awalnya disangka warga asing.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, tanggapan itu timbul kerana mangsa tidak memiliki dokumen pengenalan diri serta terdapat kesan pada tubuhnya yang menyerupai tatu.
“Namun hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesan itu sebenarnya daripada pakaian dalam nipis yang dipakai mangsa dan bukannya tatu.
“Identiti mangsa akhirnya dikenal pasti hasil pengecaman keluarga berdasarkan motosikal yang digunakan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Mangsa, Mohamad Hasli Wafi Kamaludin, 17, dari Kampung Pauh, Temangan, Kelantan, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala serta patah tangan dan kaki.
Menurut Zulkiflee, ibu bapa mangsa kini menetap di Janda Baik dan hadir membuat pengecaman di Hospital Bera.
Siasatan awal mendapati motosikal ditunggang remaja itu dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah pacuan empat roda.
Akibat pelanggaran itu, mangsa dan motosikalnya terseret ke laluan bertentangan sebelum dilanggar pula sebuah lagi pacuan empat roda.
“Pemandu kedua-dua kenderaan pacuan empat roda berusia 23 dan 26 tahun tidak mengalami kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-SAHIH