Khemah terbang 5km dibawa ribut
Khemah terbang 5km dibawa ribut
TEMERLOH: “Khemah saya terbang kira-kira lima kilometer dari lokasi niaga, semua peralatan rosak dan pokok di belakang gerai tumbang disambar kilat,” kata peniaga goreng pisang, Norizati Asmida Rosli, 30, yang terjejas akibat ribut di Taman Bukit Bendera, Mentakab di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, Norizati berkata dia berada di rumah sebelum menerima panggilan penduduk setempat memaklumkan khemahnya hilang dibawa angin kencang.
“Kejadian berlaku sangat pantas. Sekelip mata angin kencang disusuli hujan lebat memusnahkan peralatan niaga termasuk khemah, meja dan wayar elektrik yang putus.
“Bumbung rumah saya turut bocor dan air hujan masuk membasahi lantai. Dengan lima anak masih bersekolah dan suami bekerja sebagai pemandu lori, kerosakan ini benar-benar menjejaskan pendapatan kami,” katanya yang sudah lima tahun berniaga di lokasi itu.
Ribut yang melanda turut menyebabkan 25 rumah di lima kawasan sekitar Mukim Mentakab 1 dan Mukim Songsang rosak, selain merosakkan Masjid Taman Bukit Bendera di bahagian atap dan siling.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Temerloh, Datuk Khairur Rizal Ramli berkata, kawasan terjejas ialah Taman Saga Damai (satu keluarga), Taman Bukit Bendera (16 keluarga), Taman Tunas (satu keluarga), Kampung Tanjung Kerayong (enam keluarga) dan Kampung Gantok (satu keluarga).
Sementara itu, kerajaan negeri Pahang yang diwakili Penyelaras DUN Kuala Semantan, Datuk Ridzuan Hazimin turut turun padang meninjau lokasi kejadian serta bertemu mangsa terjejas bagi menyalurkan bantuan segera.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan tiada pusat pemindahan dibuka kerana mangsa masih boleh menetap di rumah masing-masing,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melakukan pemantauan serta mengumpul maklumat mangsa.
“Kerja pembersihan pokok tumbang diselesaikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan bantuan APM. Tindakan susulan diselaras oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta penghulu mukim,” katanya

Beliau menasihatkan penduduk supaya berwaspada terutama ketika cuaca tidak menentu dan segera memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku kejadian luar jangka.-SAHIH
