Motosikal Berkuasa Tinggi Terbang ke Longkang, Video Tular!
Motosikal Berkuasa Tinggi Terbang ke Longkang, Video Tular!
BENTONG – Aksi tiga motosikal berkuasa tinggi terbabas ke dalam longkang di Kilometer 43.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah timur, di sini, bukan sahaja mencemaskan, malah sempat dirakam dan kini tular di media sosial!
Rakaman berdurasi satu minit 20 saat itu mula tersebar sekitar malam Ahad lalu, sekali gus menggemparkan pengguna jalan raya lain yang menyaksikan insiden tersebut.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 9.45 pagi pada 27 April 2025 (Ahad).
“Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang hilang kawalan lalu tergelincir sebelum terbabas ke dalam longkang di bahu kiri jalan.
“Seorang penunggang yang berjaya dihubungi mengalami kecederaan di kaki kanan, sementara dua lagi penunggang masih belum dapat dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Zaiham, pihak polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan usaha mengesan dua lagi penunggang giat dijalankan.
Beliau turut menyeru saksi kejadian tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan polis tidak akan berdiam diri terhadap golongan penunggang motosikal yang menjadikan lebuh raya sebagai ‘litar perlumbaan’ sehingga membahayakan pengguna jalan lain.
“Operasi berterusan akan dilaksanakan di lokasi-lokasi panas untuk memastikan tiada pihak mengambil kesempatan memperjudikan nyawa sendiri dan orang lain,” katanya.-SAHIH