Guna Bahasa Tamil dalam kempen: Calon Ketua Cabang Temerloh dikritik, netizen soal prinsip keterangkuman PKR
Guna Bahasa Tamil dalam kempen: Calon Ketua Cabang Temerloh dikritik, netizen soal prinsip keterangkuman PKR
TEMERLOH – Calon Ketua Cabang PKR Temerloh, Maheswaran Ramachandran dikecam hebat selepas didapati menggunakan bahasa Tamil dalam salah satu video kempen terbarunya. Tindakan itu dianggap tidak sensitif terhadap semangat keterangkuman yang sering dilaungkan oleh parti itu sendiri.
Dalam video yang dimuat naik ke laman Facebook beliau, Maheswaran menyindir pihak lawan dengan berkata, “Desperate people do desperate things.” Namun apa yang lebih mencetuskan kontroversi adalah penggunaan bahasa Tamil dalam penyampaian mesej politik tersebut.
Seorang netizen, Addy Farah, membalas keras: “Cakap bahasa Melayu je bro… semua orang Melayu faham bahasa Melayu… kecuali pendatang haram!!!” – satu komen yang jelas rasis dan melampau. Namun, di sebalik kecaman Addy yang keterlaluan, persoalan asas tetap valid – adakah wajar calon parti pelbagai kaum seperti PKR menyampaikan mesej kempen dalam bahasa yang tidak difahami majoriti rakyat?
“Kalau betul nak jadi pemimpin kepada semua, bahasa pengantar mestilah yang difahami semua. Ini bukan forum tertutup satu kaum,” ujar seorang netizen lain. Maheswaran cuba meredakan ketegangan dengan menjawab bahawa itu untuk “makhluk asing yang tak faham Melayu”, tetapi reaksi seolah tidak diterima orang ramai.
Kiran Raj Subramaniam pula tampil mempertahankan Maheswaran, menyifatkan Malaysia sebagai negara yang perlu meraikan kepelbagaian.
Namun begitu, rakyat mula tertanya-tanya – adakah slogan “PKR untuk semua” sekadar retorik apabila calon sendiri gagal menzahirkan semangat inklusif itu dalam amalan?
Pemimpin parti wajib tunjuk contoh terbaik. Bukan dengan menonjolkan identiti kaum, tapi membina jambatan kefahaman antara rakyat. Jika tidak, PKR akan terus dilihat sebagai parti yang gagal menyatukan semua kaum secara sebenar – hanya gah di atas kertas, lesu di lapangan.-SAHIH