Masuk Islam Demi Cinta, Kini Sah Suami Isteri di Majlis Kahwin Raya
Masuk Islam Demi Cinta, Kini Sah Suami Isteri di Majlis Kahwin Raya
JENGKA – Sambutan Aidilfitri di Daerah Jengka tahun ini disambut dengan penuh kemeriahan dan kelainan apabila empat pasangan pengantin orang asli diraikan dalam satu majlis perkahwinan besar-besaran sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Meraikan Pasangan Pengantin Saudara Baru ( OA) 2025 anjuran Pejabat Agama Islam Daerah Jengka, hari ini.
Program ini turut digerakkan secara bersama oleh Gabungan Masjid Wilayah Jengka, Persatuan Ibu Tunggal, Pusat Aktiviti Warga Emas Bandar Jengka, Persatuan Guru KAFA Wilayah Jengka dan Kami Anak Felda (KAF).
Majlis yang berlangsung di Dataran Mawaddah, Pejabat Agama Islam Daerah Jengka ini turut dihadiri lebih 3,000 tetamu yang mula membanjiri lokasi seawal jam 11.30 pagi.
Qadhi Daerah Jengka, Tuan Nik Ibrahim Nik Abdullah berkata, program yang sudah memasuki tahun keempat ini tampil lebih istimewa apabila buat pertama kalinya diserikan dengan majlis akad nikah membabitkan pasangan orang asli dari Kampung Sematau dan Kampung Sungai Bangkong.
“Alhamdulillah, tahun ini kita tampil dengan sedikit kelainan. Sebelum ini tiada majlis perkahwinan orang asli, tapi tahun ini kita berjaya kenal pasti empat pasangan yang sudah mengikuti kursus perkahwinan dan sedia mendirikan rumah tangga.
“Mereka dipilih mewakili empat daerah dan diraikan serentak dalam suasana Hari Raya untuk memeriahkan lagi sambutan,” katanya.
Pasangan dari Kampung Sematau yang diraikan ialah Faizal Nersa, 21, bersama pasangannya Yuhanis Ali, 16; Sahrizal Lee Abdullah dan Suhaina Lazim; serta Mazwan Yin dan Pisa binti Sedin.
Sementara pasangan dari Kampung Sungai Bangkong pula ialah Mohd Daud bin Mohd Ali dan Anis a/p Jamal.
Menurut Pengerusi Masjid Wilayah Jengka, Razak Daud, sebanyak 38 buah masjid dari seluruh wilayah berganding bahu menyediakan makanan untuk para tetamu, hasil sumbangan dan gotong-royong ahli kariah.
“Kita harap majlis seperti ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim, tetapi juga membuka jalan dakwah kepada keluarga pengantin yang belum beragama Islam,” katanya.
Faizal, 21, dari Kampung Sungai Relau, Sematau berkata, niat untuk mendirikan rumah tangga bersama pilihan hati menjadi titik permulaan dirinya memeluk Islam sewaktu berumur 17 tahun.
“Waktu tu saya belum tahu banyak tentang Islam, tapi saya tahu kalau nak kahwin, kena masuk Islam.
Jadi saya ambil keputusan untuk belajar dan teruskan niat saya. Alhamdulillah, sekarang saya dan isteri sah suami isteri,” katanya sambil tersenyum di sisi pasangannya, Yuhanis binti Ali, 16.-SAHIH