Pekebun rugi, gajah ceroboh kebun pisang, musang king
Foto : Pengusaha kebun pisang dan durian, Shafie Ripin menunjukkan kawasan kebun diceroboh gajah.
Pekebun rugi, gajah ceroboh kebun pisang, musang king
JERANTUT : Dua pengusaha kebun tanaman pisang dan durian Musang King mengalami kerugian apabila kebun mereka diceroboh gajah dan turut memusnahkan tanaman di kebunnya yang terletak di Blok 20, Ladang sawit Felda Kota Gelanggi Dua dekat sini.
Kebun mereka yang terletak kira-kira 500 meter dari Hutan Simpan Lepar serta kebun sawit milik peneroka lain yang bersempadan dengan kebunnya di situ turut terjejas.
Muhamad Ridzuan menunjukkan dahan pokok durian antara yang dirosakkan oleh gajah yang masuk ke dalam kebunnya.
Pekebun tersebut, Muhamad Ridzuan berkata, pada hari Khamis dan Jumaat lalu, kumpulan gajah liar itu dianggarkan kira-kira 10 ekor telah menceroboh ke kebunnya di antara jam 9.00 malam sehingga awal pagi hari tersebut.
“Kejadian terbaharu ini, gajah telah mematahkan dahan kira-kira 30 pokok durian Musang King berusia empat tahun setinggi kira-kira tiga meter.
“Pagar kawat yang dibina di sekeliling kebun saya seluas 1.2 hektar turut tumbang ditolak haiwan ini serta merosakkan tangki jenis poly untuk saya menakung air,” katanya.
Katanya, selain itu, paip jenis poly yang dipasang di sekitar kebun saya turut ditarik dan dirosakkannya dan usaha untuk membaiki dan membeli baharu untuk mengantikannya memerlukan kos kira-kira RM 10,000 hingga RM20,000.
“Ini bukan kali pertama kumpulan gajah masuk ke kebun saya, pada bulan Ogos lalu kira-kira 200 pokok pisang jenis berangan dan tanduk yang sudah hampir tempoh untuk dituai dan dijual turut musnah dan saya mengalami kerugian.
“Kali ini, gajah yang masuk ke kebun saya hanya untuk makan umbut pisang, pucuk muda dan buah, manakala selebihnya dirosakkan oleh kumpulan ini,” katanya.
Katanya, daripada keadaan kesan yang terdapat di kebunnya, kumpulan haiwan ini kira-kira 10 ekor termasuk anak telah masuk ke kebun pisang selain meninggalkan kira-kira 10 tompokan najis gajah bersaiz kira-kira 30 sentimeter (cm) hingga 50 cm.
Seorang lagi pengusaha kebun pisang dan durian, Shafie Ripin (72) turut mengalami kejadian yang sama.
Kebunnya terletak kira-kira 300 meter daripada kebun Muhamad Ridzuan turut memusnahkan pagar dan pokok pisang yang ada di kebunnya.
“Pokok pisang saya kira-kira 100 pokok turut tumbang dan rosak, manakala pokok durian saya hanya patah dahan.
“Sebelum ini saya dimaklumkan oleh rakan peneroka mengenai gajah liar kerap berkeliaran di hutan berdekatan Sungai Kijeng tidak jauh dengan kebun sawit di Blok 20 pada bulan lalu, tetapi masih tidak menceroboh tanaman pisang dan musang king,” katanya.
Katanya, setelah dimaklumkan kejadian itu, dia tidak sedap hati dan pergi melihat kebunnya dan terkejut rosak pagar dawai dan saluran paip poly turut dimusnah dn dirosakkan.
“Bila saya tiba di kebun kira-kira jam 8.00 pagi semalam kesemua tanaman pisang musnah dan mujurlah sebanyak 100 batang pokok musang king yang berusia tiga tahun tidak diganggu.
“Pokok pisang tanduk dan berangan ini merupakan kali keempat bakal mengeluarkan hasil selepas mula ditanam sejak dua tahun lalu,” katanya.
Katanya, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) dan pejabat pertanian telah dimaklumkan berkaitan kejadian itu.-SAHIH.