16 kes dilaporkan mengalami gejala ‘Rotavirus’ dari taman rekreasi di Maran
Foto : Gambar hiasan.
16 kes dilaporkan mengalami gejala ‘Rotavirus’ dari taman rekreasi di Maran
MARAN : Sebanyak 16 kes mangsa yang dilaporkan mengalami gejala sakit perut, muntah, cirit-birit dan demam setelah mengunjungi Taman Rekreasi Che Minah Sayang, dekat sini yang tular di media sosial pada 5 September lalu.
Mangsa berusia antara dua hingga 11 tahun dan seorang wanita dewasa berumur 27 tahun telah dilaporkan mengalami wabak itu.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) dimaklumkan tentang kejadian wabak Kencing Tikus (Leptospirosis) yang berlaku di taman rekreasi itu melalui media sosial.
Katanya, pada 5 September, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Maran menerima satu notifikasi wabak Acute Gastroenteritis (AGE) yang dialami kanak-kanak dengan gejala sakit perut, muntah, cirit-birit dan demam.
“Siasatan yang dijalankan oleh PKD Maran dengan melakukan hasil ujian makmal mendapati sebanyak 16 kes yang terdiri daripada kanak-kanak dan seorang wanita dewasa dijangkiti wabak ‘Rotavirus’.
“Manakala, hasil ujian makmal bagi pengesahan penyakit Kencing Tikus (Leptospirosis) adalah negatif,” katanya hari ini melalui kenyataan media.
Katanya, wabak Rotavirus ini berkemungkinan berpunca daripada air sungai yang tercemar dengan sisa buangan lampin pakai buang bayi.
“JKNP menasihat pihak pengurusan Taman Rekreasi Che Minah Sayang untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan di sekitar taman rekreasi.
“ Ini termasuk memastikan semua premis makanan berada dalam keadaan bersih dan selamat dan orang awam juga disarankan untuk mengambil cakna dengan tidak membawa anak-anak yang kurang sihat atau warga emas untuk berekreasi di taman rekreasi tersebut,” katanya.
Katanya, semua kanak-kanak terbabit dengan gejala itu dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Jengka, manakala wanita yang merupakan ibu kepada salah seorang kanak-kanak tersebut dirawat sebagai pesakit luar.
“ Jabatan ini akan terus memantau perkembangan wabak ini dari semasa ke semasa,” katanya.- SAHIH.