Dihimpit jutaan jemaah, baru dapat cium Hajar Aswad
Dihimpit jutaan jemaah, baru dapat cium Hajar Aswad
MAKKAH – Hampir putus asa selepas tiga kali berulang untuk mencium Hajar Aswad, namun ia tidak mematahkan semangat dan impian Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud.
Dia berkata, ketika kunjungan ke situ sepanjang tiga hari, kawasan berkenaan terlalu sesak dengan jutaan jemaah haji dari seluruh dunia.
“Namun saya tidak berputus asa dan membuat solat hajat di depan Kaabah.
“Saya memohon agar dipermudahkan hasrat untuk mengucup Hajar Aswad.
“Alhamdulillah… akhirnya doa saya diperkenan dan berjaya juga mengucup Hajar Aswad pada hari ke-empat,” katanya.
Razak bagaimanapun memberitahu, pengalaman ketika selesai mengucup Hajar Aswad menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan.
Katanya, dia terperangkap kira-kira 10 minit ketika cuba keluar dari kawasan menempatkan Hajar Aswad.
“Ketika nak masuk, memang tiada masalah… memang dipermudahkan sungguh.
“Tapi ketika selesai dan nak keluar… saya terhimpit… dihimpit oleh ribuan jemaah lain yang sedang berebut untuk mencium Hajar Aswad,” katanya lagi.
Dia bersyukur kerana berjaya ditarik keluar dari kawasan itu oleh seorang jemaah lelaki dari negara Afrika.
Katanya, lelaki itu juga meminta maaf kerana turut berebut dengan jemaah lain untuk memasuki kawasan Hajar Aswad.
“Lega apabila dapat keluar… saya dah rasa sesak nafas… ini semua sudah diatur oleh Allah.
“Saya rasa cukup bertuah kerana sempat mengucup Hajar Aswad… tak boleh nak gambar dengan kata-kata… tapi rasa tenang jiwa apabila mengucup Hajar Aswad.
“Patutlah ramai jemaah berebut untuk mengucupnya… dan saya sangat bertuah kerana diizinkan Allah dan dapat mendekati Hajar Aswad,” katanya. – SAHIH