Jawatankuasa Khas selesai isu tanah FELDA
Jawatankuasa Khas selesai isu tanah FELDA
BENTONG – Pihak FELDA dan Kerajaan Pahang menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti dan menyelesaikan isu hak milik tanah di tanah rancangan FELDA di Pahang.
Perkara itu dimaklumkan Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, Datuk Amizar Abu Adam.
Katanya, melalui jawatankuasa khas itu beberapa isu yang sering timbul sebelum ini dapat diselesaikan dengan lebih berhemah.
Antara isu itu adalah hak milik peneroka, kebenaran kemasukan elektrik dan air, status GSA dan juga hal berkaitan koperasi FELDA.
“Semua ini dibincangkan secara harmoni dalam mesyuarat pemberimilikan tanah kerajaan negeri Pahang dan FELDA yang diadakan awal bulan ini,” katanya.
Amizar memaklumkan, sebanyak 250 unit Hak Milik FELDA diserahkan oleh Kerajaan Negeri Pahang dan sebanyak 25 Notis 5A dapat juga diserahkan kepada pihak FELDA untuk tindakan lanjut semasa mesyuarat itu.
“Saya hanya mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk menyerahkan semua perkara itu,” ujarnya.
Dia berharap usaha berkenaan dapat memberi manfaat secara berpanjangan kepada peneroka serta generasi kedua dan ketiga FELDA.
Katanya, kerajaan Pahang sentiasa mencari jalan untuk menyelesaikan isu dihadapi warga peneroka FELDA di negeri ini. – SAHIH