Polis Jerantut sudah kenal pasti guru wanita mendakwa Imam Mahdi
Polis Jerantut sudah kenal pasti guru wanita mendakwa Imam Mahdi
JERANTUT – Polis Jerantut sudah mengenalpasti menerusi siasatan mengenai seorang wanita yang mendakwa sebagai Imam Mahdi yang tular di media sosial JERANTUT VIRAL dan Info Rakyat Dalam Kelantan (IRDK) menerusi penghantar bernama Nor Farizan Shaari.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad berkata, hasil siasatan polis, suspek berkenaan, Siti Fatini Nabilah Mat Yusoff berusia 34 tahun bekerja sebagai guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jerangsong di sini.
“Wanita berkenaan sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak yang tinggal di Taman Seri Makmur, dekat sini.
“Hasil siasatan juga mendapati suami suspek yang dikenali Muhd Hanif kini tinggal di Kuala Lumpur bekerja sebagai Traffic Management Officer (TMO), Lebuh Raya DASH Kuala Lumpur, ” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini.
Menurut Zukri, maklumat awal yang polis diberitahu mengenai kes ini, suspek berkenaan mempunyai masalah mental dan rekod perubatan juga menunjukkan wanita berkenaan pernah mendapatkan rawatan sebagai pesakit Psikiatri di Unit Psikologi Kaunseling, Hospital Tanah Merah, Kelantan semenjak 16 November 2023.
Beliau berkata, penghantar (Nor Farhan Shaari) telah menyentuh isu berkaitan seorang seorang guru perempuan di SJKC Jeransong, Jerantut yang telah mengaku bahawa beliau adalah Imam Mahadi.
Katanya, menerusi penghantaran yang dimuatnaik menerusi dua laman sosial tersebut menyebut suspek dipilih oleh Allah untuk membimbing umat Muhamad dan menggelarkan dirinya sebagai mujaddid yang diamanahkan untuk menghentikan peperangan di Palestin.
Dakwa suspek itu, Allah telah pusing (memesong) fakta mengatakan Imam Mahdi adalah seorang lelaki, tetapi hakikat sebenarnya adalah seorang perempuan dan dia mengaku dirinya adalah Imam Mahadi itu.
“Difahamkan kes tersebut tercetus akibat perbalahan dengan beberapa orang sahabat suspek berkaitan hal melibatkan dalaman keluarga serta beberapa hal peribadi yang lain.
“Oleh sebab itu suspek telah berasa tertekan dengan tohmahan dan fitnah sahabat suspek berkaitan tuduhan dianggap tidak berasas dengan menghantar beberapa posting melibatkan pengakuan bahawa dirinya sebagai Imam Mahadi,” katanya.
Zukri menambah, suspek juga mengaku tiada sebarang rujukan atau belajar daripada mana-mana guru agama atau orang perseorangan dan hanya mengaku dirinya terpilih (terbuka hijab) untuk memiliki ‘Ilmu Allah’ dan diangkat darjatnya oleh Allah kerana beliau seorang yang jujur.
Beliau berkata, isu yang melibatkan suspek wanita itu yang dikatakan mengaku sebagai seorang mujaddid serta Imam Mahadi adalah ekoran terdapat beberapa artikel milik suspek yang dimuatnaik oleh Nor Farizan Shaari di laman FB beliau.
Zukri menjelaskan suspek yang masih bertugas di SJKC Jerangsong merupakan seorang yang mempunyai masalah tersendiri serta penyakit mental kini masih menerima rawatan di unit psikiatri.
“Diharapkan isu tersebut tidak diperbesarkan dan tindakan susulan telah dibuat oleh Pejabat Agama Daerah Jerantut sebagai langkah pencegahan serta pemulihan,” ujarnya.
Sumber : Utusan Malaysia