UPSI, UMS Tingkat minat pelajar lanjut pengajian tinggi
Foto atas : MPP UPSI dan IKSAS bersama peserta Outreach Zon 1 di Sekolah Menengah Tun Fuad Stephens, Kiulu, Sabah baru-baru ini.
UPSI, UMS Tingkat minat pelajar lanjut pengajian tinggi
FENOMENA kurangnya minat generasi muda melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi ekoran keinginan mencari pekerjaan mendorong Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, berangkat ke Kota Kinabalu, Sabah untuk menjayakan Program MPP UPSI bersama MPP Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Mac lalu.
Yang Dipertua MPP UPSI, Amirul Haiqal Amirrudin Baki, berkata objektif program itu diadakan adalah untuk mempromosi dan menggalakkan golongan muda di sekitar Sabah menyambung pelajaran ke peringkat menara gading.
“Program ini dilaksanakan MPP sebagai menyahut seruan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir yang menyatakan Penyediaan Bakat Terbaik Negara dengan inisiatif menarik minat lebih ramai golongan muda untuk memasuki pendidikan tinggi supaya mereka menjadi golongan profesional serta mengumpulkan pandangan mahasiswa yang boleh digunakan sebagai rujukan untuk penambahbaikan inisiatif daripada kerajaan.
“MPP UPSI melakukan kunjungan hormat ke MPP UMS bagi sesi perbincangan dua hala berkenaan cadangan sebagai rakan kolaborasi bagi Misi Kebajikan dan Pendidikan di Sabah dan sempat melakukan ‘townhall’ berkenaan Inisiatif Flysiswa.
“Kedua-dua MPP turut melakukan perbincangan mengenai perkara berkaitan kebajikan mahasiswa dan kolaborasi bersama,” ujarnya.
Menurutnya, sepanjang berada di Kota Kinabalu selama tiga hari itu, MPP UPSI bersama Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS) turut bersama-sama menghadiri program Outreach Edu Voyage yang dianjurkan oleh IKSAS di beberapa zon membabitkan 24 daerah dalam 10 zon.
Tambahnya, program itu antara inisiatif daripada UPSI untuk menarik minat golongan muda yang rata-rata sudah tidak minat untuk menyambungkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
“Hal ini kerana mereka lebih tertarik dengan pekerjaan gig seperti menghantar makanan kerana menawarkan gaji yang lumayan serta kekurangan akses dan pendedahan kepada pendidikan tinggi, ” ujarnya.
Program yang dihadiri hampir 2,000 pelajar Tingkatan Lima dan Enam seluruh Sabah untuk diberi pendedahan awal tentang pendidikan tinggi, sekali gus dapat mempromosi UPSI.-SAHIH.