JUMPA DADAH TEPI PANTAI
Berita Jenayah
JUMPA DADAH DI TEPI PANTAI
JOHOR BAHRU: Polis negeri ini menemui dadah bernilai RM1.25 juta di tepi pantai hutan bakau Parit Besar Laut, dekat Muar dipercayai ditinggalkan untuk tujuan penyeludupan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata dadah membabitkan 20.795 kilogram (kg) syabu dan 14,000 biji pil ekstasi itu ditemui jam 10 pagi 16 Oktober lalu.
Katanya, rampas dibuat susulan soal siasat ke atas dua suspek yang ditahan dalam serbuan masing-masing pada 13 dan 14 Julai lalu.
Dengan penemuan dadah itu, beliau berkata satu serbuan susulan dilakukan keesokan harinya di kawasan kebun kelapa sawit sekitar Muar dengan 1.064 kg dadah jenis syabu bernilai RM42,560 ditemui.
“Semasa serbuan pada 13 dan 14 Oktober, sejumlah 14 bungkus dadah yang cuba diseludup ke Bengkalis, Indonesia dirampas.
“Dadah dijumpai dalam beg di tepi pantai pada 16 Oktober itu pula dipercayai baki yang ditinggalkan penyeludup sejak 13 Oktober lalu.
“Dadah ini, kita percaya cuba diseludup secara berperingkat, dengan berat setiap bungkusan melebihi satu kilogram,” ,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Ayob Khan berkata, tiada tangkapan dibuat dalam serbuan kali ini kerana ia berdasarkan siasatan terhadap dua suspek iaitu seorang wanita berusia 31 tahun dan anak saudaranya, 20, sebelum ini.
Beliau berkata, hasil keseluruhan rampasan melalui operasi ini adalah 37.53 kg syabu dan 23,905 biji pil ekstasi dengan berat 7.17 kg.
Keseluruhan nilai dadah yang dirampas pula, katanya berjumlah RM2.22 juta.
“Dengan rampasan ini, kita menumpaskan satu sindiket penyeludupan dadah di pantai Barat Johor dan kedua-dua suspek masih dalam tahanan reman sehingga 20 Oktober mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sumber: BH Online