Penduduk Pelangai mula bersuara
Penduduk Pelangai mula bersuara
BENTONG – Tinggal 10 hari lagi sebelum pilihan raya kecil (PRK) membuka tirai.
Sama ada parti UMNO atau Perikatan Nasional (PN) setakat ini belum mengumumkan nama calon masing-masing.
Difahamkan, Barisan Nasional (BN) Pahang mempunyai enam nama calon berpotensi, manakala PN pula sedang mempertimbangkan tiga nama.
Namun, kuasa sebenar dalam PRK Pelangai adalah pengundi di situ yang berjumlah kira-kira 16,000.
Dan semalam, penduduk di Pelangai sudah mula bersuara apabila kain rentang dipasang di simpang masuk ke Pelangai, melalui jalan FELDA Bukit Mendi.
Kain rentang itu dipercayai dipasang oleh penduduk di kawasan berkenaan bagi memberi mesej kepada pucuk pimpinan parti yang bertanding.
Tulisan di kain rentang untuk secara simbolik menolak dua nama calon yang berada dalam senarai cadangan BN Pahang.
‘Long Nan (Tan Sri Adnan Yaakob) kata UMNO nak bungkus lepat dah..
Nak UMNO Pahang bungkus lepat mula dari sini??’
Selain itu, pada kain rentang berkenaan ditulis dengan nama Alin dan Karim, sertakan dengan tanda pangkah.
Difahamkan, ia menunjukkan kumpulan yang memasang kain rentang itu menolak jika ‘Alin’ dan ‘Karim’ daripada dipilih sebagai calon.
Nama ‘Alin’ dipercayai merujuk kepada bekas ketua wanita UMNO Bentong, Datuk Roslin Abdul Rahman, manakala ‘Karim’ pula dipercayai merujuk kepada pegawai khas Allahyarham Datuk Seri Johari Harun, Idris Karim.
Pada PRU15, Johari berjaya memenangi kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon PN, Kasim Samat.
Johari adalah antara 10 individu yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.
Pada PRU15, Johari berjaya memenangi kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi.
Beliau memperoleh 7,308 undi berbanding 3,260 undi diterima lawannya itu manakala dua lagi calon iaitu Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (2,031) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).
Tarikh penamaan calon bagi PRK Pelangai ditetapkan pada 23 September ini, manakala hari pengundian pula pada 7 Oktober.-SAHIH