Lelaki maut tersepit dalam treler jatuh gaung
Lelaki maut tersepit dalam treler jatuh gaung
BENTONG – Seorang pemandu lori treler meninggal dunia kerana tersepit dalam kemalangan di KM 43, Lebuhraya Karak-Bukit Tinggi pada jam 3.45 awal pagi ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pegawai operasi Che Anuar Ahmad melaporkan kejadian itu melibatkan sebuah lori treler dengan muatan pasir.
“Lori treler tersebut yang dipandu oleh Mohamad Hasrul Abdul Halim dipercayai terbabas dipercayai hilang kawalan dan jatuh ke dalam gaung kira-kira pada kedalaman 10 meter.
“Mangsa yang berada di dalam kenderaan tersebut dalam keadaan tersepit berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dengan menggunakan alat haidraulik dan tali,” katanya dalam kenyataan media.
Katanya, mangsa disahkan oleh pegawai perubatan meninggal dunia di tempat kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Seramai 15 anggota dan 3 jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong terlibat dalam operasi tersebut. Operasi tamat pada jam 6.45 pagi,” katanya.- SAHIH.