Pemutihan Ahli Antara Agenda Ahmad Murad
Pemutihan Ahli Antara Agenda Ahmad Murad
JERANTUT – Proses penjenamaan dan pemutihan ahli di peringkat Bahagian Jerantut perlu dilakukan bagi memastikan segala perancangan dapat dilakukan dengan lancar.
Calon ketua UMNO Bahagian Jerantut, Ahmad Murad Mat Hassim @ Idris berkata, melalui pemutihan ahli juga dapat membantu parti melakukan perubahan dengan lebih berkesan.
“Apabila kita dah selesai buat pemutihan, senanglah kita nak kenal yang mana ahli kita dan yang mana bukan.
“Maknanya, bila dah kenal pasti jumlah sebenar ahli UMNO Bahagian Jerantut, kita boleh buat perancangan dengan lebih teratur,” katanya.
Ahmad Murad memaklumkan, perkara seterusnya yang akan dilakukan jika dipilih sebagai ketua UMNO Bahagian Jerantut ialah memantapkan semula program dan ekonomi di peringkat Bahagian dan cawangan.
“Sebab itulah penting untuk kita kenal pasti ahli UMNO, barulah kita boleh tumpukan sasaran melalui program diatur.
“Aspek ekonomi ini memang penting kerana ia akan membantu jentera Bahagian dan cawangan menganjurkan program untuk rakyat,” katanya lagi.
Beliau turut memberitahu lebih banyak program memperkasakan ahli melalui percambahan idea baru juga perlu dibuat.
Katanya, melalui program seumpama itu, ahli parti boleh memperkukuhkan jati diri dan mewujudkan rasa bangga kerana menjadi sebahagian daripada keluarga besar UMNO.
“Saya juga melihat kepada kepentingan pembabitan ahli UMNO dalam media sosial kerana teknologi seperti media baru ini tidak boleh disekat.
“Teknologi ini berkembang dengan pantas setiap masa dan kalau kita terlambat, sudah tentu akan ketinggalan,” katanya.
Ahmad Murad juga berpendapat setiap ahli UMNO perlu mempunyai minda yang kuat dan tidak mudah putus asa.
Katanya, gelombang perubahan dibawa beliau juga perlukan perubahan minda dalam kalangan ahli UMNO Bahagian Jerantut sendiri untuk dijayakan.-SAHIH
tamat