Banjir di Pahang menurun 35 orang, PPS di Maran dan Raub masih dibuka
Foto atas : Anggota APM mengemas di PPS SMK Pusat Perkhidmatan Pertanian Tun Razak Tekam yang ditutup hari ini.
Banjir di Pahang menurun 35 orang, PPS di Maran dan Raub masih dibuka
KUANTAN – Dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Maran dan Raub masih dibuka dan bilangan mangsa banjir di Pahang mula berkurangan kepada 35 orang daripada 11 buah keluarga sehingga jam 8 malam ini.
PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Perkhidmatan Pertanian Tun Razak (SMKPPPTR) Tekam ditutup apabila seramai 12 orang mangsa daripada lima buah keluarga pulang ke rumah masing-masing berikutan banjir pulih pada jam 6 petang
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A Rahman berkata, penurunan mangsa banjir di negeri ini juga berikutan kesemua PPS di Kuantan mulai ditutup tengah hari ini setelah keadaan banjir pulih sepenuhnya.
“Sehingga ini sejumlah 21 orang mangsa masih ditempatkan di PPS balai raya Ulu Sungai, Raub, manakala 14 orang mangsa daripada tiga buah keluarga masih berada PPS balai raya Kampung Baru Pertanian, Maran.
“Kesemua mangsa yang pulang ke rumah masing-masing kini masih dipantau oleh anggota APM dan bomba dan penyelamat setiap daerah khususnya yang berdekatan dengan aliran sungai berikutan keadaan cuaca masih tidak menentu,” katanya dalam kenyataan di sini pukul 8 malam ini.
Dalam perkembangan yang sama, Che Adam berkata, tiga batang sungai menunjukkan paras bahaya, iaitu, Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran mencatat aras air setinggi 19.70 meter, Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan (10.66 meter) dan Sungai Keratong di Jambatan Bahau – Keratong, Rompin (23.70 meter).
“Sungai Jempol di Felda Jemgka juga merekodkan paras 30.13 meter pada paras amaran, manakala enam batang sungai di Temeroh, Bera, Maran dan Kuantan menunjukan paras waspada.
“Hujan lebat dan ribut petir dilaporkan masih berlaku di kebanyakan tempat negeri ini mulai petang hari ini hingga ke malam esok,” katanya.-SAHIH.