Penduduk menunggu naiktaraf di laluan Simpang Paya Garok
Penduduk menunggu naiktaraf di laluan Simpang Paya Garok
Foto atas : Laluan ke Kuala Tahan, di persimpangan Kampung Paya Garok yang kerap dinaiki air bila musim tengkujuh.
JERANTUT – Kira-kira 15,000 orang penduduk mukim Tembeling Tengah dan mukim Ulu Tembeling daerah ini masih menunggu projek menaiktaraf oleh kerajaan di laluan berdekatan di Simpang Paya Garok, Jerantut Feri dekat sini.
Kebanyakan penduduk sudah tahu bencana terjadi antara bulan November hingga Disember kawasan itu kerap ditenggelami banjir selama dua minggu malahan keadaan bertambah besar sejak bah merah 2014.
Kawasan laluan Paya Garok yang rendah mudah ditenggelami air Sungai Pahang dan anak sungai berdekatan setiap kali musim tengkujuh bermula pada bulan November hingga Disember setiap tahun.
Sampai bila pengguna jalan raya dari Jerantut ke Taman Negara Kuala Tahan kerana fenomena banjir setiap kali pada penghujung tahun kerap menenggelamkan laluan sepanjang setengah kilometer dan sedalam lebih dua meter akibat air Sungai Pahang termasuk anak sungai berdekatan melimpah masuk.
Semua perhubungan ke Taman Negara serta dua buah mukim tersebut terputus hampir dua minggu dan keadaan itu menyukarkan penduduk berulang alik ke bandar Jerantut untuk berurusan dan menangani kes kecemasan seperti rawatan di hospital.
Malah, laluan yang ditenggelami air ke kawasan penempatan Paya Garuk terletak berdekatan dan menimbulkan kesusahan penduduk di situ yang kebanyakannya bekerja di kilang, penoreh getah dan buruh ladang.
Difahamkan, kerja menaiktaraf laluan itu sudah ada dalam perancangan kerajaan membabitkan peruntukan bernilai RM20 juta selepas bah merah 2014, tetapi menurut kenyataan seorang wakil rakyat di sini kerja menaiktaraf laluan tersebut tidak dapat dilakukan apabila peruntukan berkenaan dialihkan untuk pembangunan projek di tempat lain.
Penduduk Kampung Pagi, Ulu Tembeling, Mohd Yusof Mat Si, 60, berkata, setiap kali musim tengkujuh akhir tahun, laluan di Simpang Paya Garuk terputus hubungan kerana ditenggelami air sedalam lebih dua meter.
“Kita berharap kerajaan dapat menaiktaraf segera dengan meninggikan laluan ini dan membaikpulih sistem saliran anak sungai dan sebagainya bagi mengelakkan banjir berulang dan seboleh-bolehnya sebelum musim monsoon timur laut melanda tidak lama lagi.
“Ramai penduduk tertanya-tanya bilakah projek menaiktaraf laluan berdekatan Simpang paya Garuk akan menjelma sedangkan mereka mula dilanda kebimbangan kerana musim tengkujuh sudah hampir akhir tahun dan tanda-tanda banjir akan melanda kawasan kampung di pesisir Sungai Tembeling dan Sungai Pahang daerah ini,” katanya.
Penduduk Tembeling Tengah, Roslan Hassan, 36, meminta kerajaan mempercepatkan projek menaiktaraf laluan tersebut supaya penduduk dan kenderaan tidak lagi tidak terkandas ke bandar Jerantut setiap kali musim pejur penghujung tahun.
“Saya mendapat tahu selepas banjir 2014, ada wakil rakyat yang menguar-uarkan projek menaiktaraf laluan ini, tetapi sehingga ini masih belum ‘menjelma’ dan kami mula dihantui kebimbangan kerana musim pejur sudah hampir tiba.
“Setiap kali laluan itu terkandas, penduduk tidak dapat membawa hasil kampung termasuk sawit dan getah ke bandar Jerantut menyebabkan kerugian malahan ada pengusaha yang kehilangan pendapatan,” katanya.
Katanya, selain itu turut menghubungkan penduduk di Felda Padang Piol, Felda Sungai Retang dan juga beberapa kampung tradisional.-SAHIH.