YB guna bom tangkap ikan di Sungai Sepia dikesali
YB guna bom tangkap ikan di Sungai Sepia dikesali
Foto atas : Sungai Sepia yang didakwa kejadian menggunakan bom untuk menangkap ikan
JERANTUT – Kejadian seorang Yang Berhormat menggunakan bom untuk menangkap ikan di Sungai Sepia, Ulu Tembeling yang ditularkan di media sosial baru-baru ini membangkitkan kemarahan netizen dan orang ramai.
Reaksi netizen membidas perbuatan yang tidak beretika dan bertanggungjawab oleh Yang Berhormat itu bersama rakannya yang dipercayai ‘ketua’ dari sebuah agensi kerajaan menggunakan bahan letupan untuk menangkap ikan di sungai tersebut tidak wajar.
Setiap pelawat atau yang berhasrat untuk pemancing perlu mendapat kebenaran daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) terlebih dahulu sebelum ke sana atau ke lokasi perairan di kawasan Taman Negara di daerah ini.
Perbuatan Yang Berhormat itu yang dianggap orang kuat pentadbiran politik di negeri ini mencetuskan kemarahan dalam kalangan pemandu pelancong, kaki pancing malahan penduduk Ulu Tembeling.
Seorang penduduk di situ yang enggan dikenali memaklumkan kejadian itu berlaku pada 16 Julai 2022, ketika dia sedang membawa sekumpulan pelancong untuk memancing di Sungai Sepia, Taman Negara tiba-tiba terdengar dua kali letupan berselang dengan agak kuat.
“Saya mencari arah bunyi letupan itu dan terlihat sekumpulan pemancing dalam jarak 20 meter sedang cuba mencucuh bahan letupan berikutnya yang dipercayai untuk tujuan menangkap ikan.
“Saya terkejut dengan kejadian itu, perasaan marah meluap-luap dan terus menjerit ke arah kumpulan berkenaan yang turut disertai oleh seorang ahli Yang Berhormat,” katanya di sini hari ini.
Katanya, penduduk, penggiat pelancongan dan netizen meminta pihak berwajib menyiasat kegiatan Yang Berhormat dan rakan yang bersamanya dengan mengenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya.
“Saya amat berharap pihak berwajib menyiasat kejadian ini supaya dapat diambil tindakan berasaskan undang-undang supaya memberikan pengajaran kepada semua pihak,” katanya.
Sementara itu, pemilik akaun Facebook yang bernama Pokmaq Kelah Emas juga menerusi hantarannya, memaklumkan ketika perjalanan untuk memancing ke Jeram Perahu dan Sungai Sepia, pada hari 15 hingga 18 Julai lalu, mendakwa ‘terganggu’ apabila ada beberapa orang ‘Orang Kuat Pahang’ membaling bahan letupan ke dalam sungai.
Katanya, Sungai Sepia antara anak sungai di Ulu Tembeling yang pernah menjadi laluan Pahlawan Melayu Mat Kilau ketika dikejar askar British merupakan syurga bagi pelancong pemancing ikan seperti ikan kelah, ikan patin termasuk ikan liar lain yang bermutu tinggi.
“Kejadian berkenaan betul-betul di hadapan tapak khemah kami di Jeram perahu, selepas memarahi dan ditegur, mereka pulang semula ke tapak khemah mereka di bahagian hilir sungai.
“Ketika membuat treking memancing berdekatan, kami juga melihat beberapa orang yang melakukan aktiviti menjala di bahagian hulu,”katanya.
Katanya, penggunaan jala dan jaring dilarang di perairan Taman Negara kepada semua pelancong dan pemancing, makluman diberi terlebih dahulu kepada mereka oleh pemandu bot penambang kepada kumpulan tersebut.